PUI COVID-19 meninggal dunia di Hospital Serdang

Bernama
Mac 28, 2020 09:49 MYT
Polis telah merakam percakapan dari pengadu, jururawat hospital, saksi lain serta waris mangsa.
Seorang lelaki yang berada di bawah pemantauan (PUI) COVID-19, ditemui meninggal dunia di tandas wad Hospital Serdang, malam semalam.
Ketua Polis Daerah Sepang ACP Wan Kamarul Azran Wan Yusof berkata mayat pesakit berusia 62 tahun itu ditemui pada jam 7.40 malam di dalam tandas hospital tersebut.
"Pesakit dimasukkan ke hospital pada Khamis lepas dan kematian pesakit dimaklumkan kepada pihak polis yang bertugas di pondok polis di hospital berkenaan oleh jururawat.
"Mayat akan diuruskan oleh pihak Hospital Serdang dan polis juga telah merakam percakapan dari pengadu, jururawat hospital, saksi lain serta waris mangsa," katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata sepanjang menjalankan tugas, pihak polis turut dibekalkan peralatan perlindungan diri (PPE) untuk keselamatan bagi merakam gambar di tempat kejadian dari jarak jauh.
-- BERNAMA
#COVID-19 #Hospital Serdang #koronavirus #mangsa #mayat #meninggal dunia #merakam percakapan #pemantauan #peralatan perlindungan diri #pesakit #polis #PUI #tandas
;