Pudu Sentral: 'Macam mana warga Bangladesh pun boleh jadi ulat tiket?

Huzaifah Abd Jamil
Jun 25, 2015 21:28 MYT
ABU HASSAN: Pudu Sentral: 'Bangla pun boleh jadi ulat tiket' - Gambar fail
Kemudahan yang disediakan di Pudu Sentral semakin tidak selesa berikutan tiada tindakan lanjut diambil oleh pengendalinya bagi menambahbaik kemudahan.
Pengarah Syarikat Cosmic Express, Abu Hassan Awang turut memberitahu, tiada kerjasama daripada pihak berkuasa seperti Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD), Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan pihak polis turut menyumbang kepada kelemahan pengurusan kemudahan di premis itu.
Abu Hassan ketika dihubungi Astro Awani menjelaskan, perkara yang membimbangkan kini adalah dengan kewujudan 'ulat tiket'.
"Keadaan Pudu Sentral sekarang ini agak praktikal, banyak ulat (tiket) termasuk ulat (tiket) yang terdiri dari warga Bangladesh dan ini telah mendatangkan ketidakselesaan kepada penumpang.
"Kita dapat melihat banyak agensi terbabit bersikap lepas tangan terutama UDA, walaupun beberapa mesyuarat dijalankan, namun tiada tindakan diambil. Sepatutnya UDA ambil satu pendekatan agresif dan buat sesuatu, tetapi tidak ada tindakan," tegasnya.
Pada masa sama, dia turut kecewa dengan Pusat Transformasi Bandar Kuala Lumpur (UTC KL) yang tidak beroperasi secara menyeluruh.
Tegasnya, UTC KL sepatutnya bertindak sebagai tempat orang ramai berurusan dengan agensi-agensi kerajaan seperti Jabatan Imigresen, Jabatan Pengangkutan Jalan dan SPAD.
Mengulas mengenai pengumuman SPAD bagi kesemua bas perjalanan domestik dari Pudu Sentral akan dipindahkan ke Terminal Bersepadu Selatan (TBS), Abu Hassan menganggap tindakan tersebut kurang tepat.
Jelasnya, proses pemindahan itu bakal mengakibatkan kesesakan bas di TBS meningkat sekaligus menjejaskan perjalanan bas mengikut jadual yang ditetapkan, selain tiada laluan keluar masuk yang dikhaskan untuk bas di premis itu.
Tambahnya, kenaikan harga diesel, pelaksanaan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) dan kejatuhan mata wang ringgit turut menjadi penyebab tindakan itu tidak patut dijalankan.
Bagaimanapun, Abu Hassan menyatakan sokongan pemindahan dilakukan sekiranya SPAD dapat menyatakan alasan yang lebih kukuh.
Pudu Sentral merupakan antara perhentian bas tertua di Kuala Lumpur dan merupakan salah satu perhentian bas utama sebelum TBS dibuka pada tahun 2011.
#DBKL #GST #Pudu Sentral #SPAD #TBS
;