'Puasa semua orang nak buat, hudud tak mahu pula' - Haron Din
Haider Yutim
Julai 4, 2015 20:46 MYT
Julai 4, 2015 20:46 MYT
Mursyidul Am PAS Pusat, Datuk Dr Haron Din menyatakan kehairanan kenapa perkara wajib seperti puasa dilaksanakan oleh hampir semua umat Islam, namun hukum wajib seperti qisas dan hudud tidak dilaksanakan.
Beliau merujuk kepada negara-negara Islam yang sehingga kini katanya tidak melaksanakan undang-undang tersebut meskipun diwajibkan sama seperti puasa dan solat.
"Mengapa bila puasa ini semua orang nak buat? Kanak-kanak pun ada, orang tua yang sakit pun nak buat…orang musafir (dalam perjalanan jauh) yang sepatutnya ada peruntukan untuk berbuka pun buat.
"Namun Allah wajibkan kita laksanakan qisas yang merupakan sebahagian dari hudud, tetapi degil tak mahu laksana sampai hari ini," katanya dalam ucapan tazkirah Majlis Iftar Amal Darul Fuqaha' di sebuah hotel di sini pada Sabtu.
Selain itu, Dr Haron turut menyebut tentang usul Rang Undang-Undang (RUU) Persendirian berkaitan hudud oleh Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang ke Dewan Rakyat yang masih belum dapat dibacakan.
"Sudah sebulan kita nak bawa di Parlimen tetapi tidak disenaraikan sebagai bil yang boleh dibawa dan ditangguh ke Parlimen akan datang," katanya.
Menurut beliau, dalam waktu itu ada pihak yang bertindak menghantar writ saman dan menamakan Abdul Hadi, Speaker Dewan Rakyat Tan Sri Pandikar Amin Mulia dan seorang timbalan speaker sebagai defendan.
Katanya, tujuan saman tersebut adalah bagi meminta mahkamah menghalang Speaker daripada menerima dan membawa usul persendirian oleh Abdul Hadi itu.
Pada 18 Mac lalu, Abdul Hadi telah mengemukakan satu notis bagi usul tersebut dibentangkan di Dewan Rakyat.
RUU berkenaan iaitu Rang Undang-Undang Kanun Jenayah Syariah II 1993 (Pindaan 2015) diluluskan oleh Dewan Undangan Negeri Kelantan pada 19 Mac.