"Puan, makcik mahu 4 tin saja susu pekat manis tu" - Sukarelawan dedah permintaan nenek untuk 7 cucu

Gempak
April 16, 2020 13:30 MYT
Fatimah menyatakan ibu kepada cucunya telah meninggal dunia manakala ayahnya terkandas di Keningau. - Foto Facebook
SEORANG sukarelawan wanita, Siti Fatimah Abd Hamid berkongsi pengalaman ketika menghubungi seorang nenek bagi menghantar bantuan ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Kata Fatimah, permintaan nenek itu menyentuh jiwa kerana hanya meminta susu pekat manis untuk keperluan cucunya yang tinggal bersama.
"Nenek ni minta 4 tin susu pekat manis saja bila kami hubungi tanya mahu susu apa untuk cucu-cucunya.
"Puan, makcik mau 4 tin saja susu pekat manis tu.
"Haih, berhabuk lagi mata. Mak cik ni tak minta banyak. Dia minta susu pekat saja 4 tin untuk cucu-cucunya.
"Diorang biasa sudah minum susu cap junjung (susu pekat manis), yang penting ada warna putih-putih.
"Itupun sudah cukup untuk bancuh bagi pada cucu saya yang kecil-kecil ni. Ok sudah tu," kongsinya di Facebook.
Membuka kisah nenek ini, Fatimah menyatakan ibu kepada cucunya telah meninggal dunia manakala ayahnya terkandas di Keningau.
"Tambah nenek ni lagi, dialah ibu, dialah bapa kepada 7 orang cucunya sekarang. Anaknya telah meninggal selepas 3 bulan melahirkan cucunya yang bongsu.
"Bapa budak-budak ini pula terkandas di Keningau. Tidak dapat balik sebab PKP. Anaknya yang sulung yang membantu neneknya menjaga adik-adiknya yang masih kecil.
"Sesungguhnya ujian setiap kita tidak sama," katanya lagi.
Perkongsian ini telah mendapat hampir 2,000 komen dan hampir 5,500 dikongsikan (shares) kepada umum.
Orang ramai yang ingin menghulurkan sumbangan bagi meringankan beban boleh menyalurkan bantuan menerusi akaun Yayasan Dana Kebajikan Muslim Sabah di akaun Maybank bernombor 560232125066.
Terdahulu, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan kerajaan memutuskan untuk melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan, mulai Rabu (18 Mac) hingga 28 April 2020, di seluruh negara.
Pastikan anda selalu mencuci tangan, pakai topeng muka, gunakan 'sanitizer', kurangkan aktiviti di luar rumah serta lakukan perkara yang boleh mencegah COVID-19!
#COVID-19 #Facebook #koronavirus #meninggal dunia #Muhyiddin Yassin #PKP
;