Pua dapat kebenaran semakan kehakiman cabar perintah larangan ke luar negara

Bernama
Oktober 1, 2015 12:55 MYT
Pada 19 Ogos lepas, Pua yang juga Setiausaha Publisiti Kebangsaan DAP, menuntut deklarasi bahawa perintah KP Imigresen yang menghalangnya ke luar negara pada 22 Julai 2015, adalah bertentangan dengan undang-undang. - Gambar Fail
Mahkamah Tinggi hari ini membenarkan permohonan anggota Parlimen Petaling Jaya Utara Tony Pua Kiam Wee untuk mendapatkan kebenaran semakan kehakiman bagi mencabar perintah Ketua Pengarah (KP) Imigresen yang melarangnya ke luar negara.
Hakim Datuk Asmabi Mohamad membuat keputusan itu di dalam kamar dengan dihadiri peguam Gobind Singh Deo yang mewakili Pua selaku pemohon, manakala Peguam Kanan Persekutuan Shamsul Bolhassan bertindak bagi pihak KP Imigresen dan kerajaan Malaysia sebagai responden.
Gobind Singh ketika ditemui pemberita berkata mahkamah membenarkan permohonan Pua untuk mendapatkan kebenaran semakan kehakiman dan menetapkan 15 Okt untuk pengurusan kes.
Pada 19 Ogos lepas, Pua yang juga Setiausaha Publisiti Kebangsaan DAP, menuntut deklarasi bahawa perintah KP Imigresen yang menghalangnya ke luar negara pada 22 Julai 2015, adalah bertentangan dengan undang-undang. Oleh itu, ia tidak sah dan batal.
Beliau juga memohon satu perintah certiorari untuk membatalkan perintah itu, ganti rugi khas, kos dan relif lain yang difikirkan sesuai oleh mahkamah.
Pua mendakwa perintah dan keputusan itu adalah ultra vires kerana beliau tidak diberikan notis atau diberikan peluang berhubung perintah larangan itu.
Beliau juga mendakwa keputusan itu adalah tidak munasabah, tidak adil dan bersifat mala fide kepadanya.
Pua ketika itu berada di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (klia2) untuk ke Yogyakarta, Indonesia.
#Imigresen #Ketua Pengarah #MP #Petaling Jaya #Tony Pua
;