PU Azman didakwa lakukan amang seksual terhadap dua remaja lelaki
Astro Awani
Oktober 12, 2022 16:02 MYT
Oktober 12, 2022 16:02 MYT
SEREMBAN: Pendakwah selebriti, PU Azman atau nama sebenarnya Azman Syah Alias mengaku tidak bersalah di atas lima pertuduhan melakukan amang seksual terhadap dua remaja lelaki pada Februari dan Julai tahun ini.
Pengakuan itu dibuat PU Azman, 41, di hadapan Hakim Datin Surita Budin selepas kertas pertuduhan dibacakan jurubahasa di Mahkamah Sesyen, di sini, pada Rabu.
Mengikut tiga pertuduhan, tertuduh telah melakukan amang seksual fizikal dengan melakukan perbuatan kelucahan melampau termasuk merangsang mangsa berusia 17 tahun.
Perbuatan itu dilakukan di ruang tamu dan tandas di sebuah rumah di Taman Tiara Sendayan di Nilai pada 6 Julai lalu antara pukul 3 pagi hingga 5 pagi.
Selain itu, tertuduh turut melakukan perbuatan sama terhadap mangsa berusia 16 tahun 10 bulan yang dilakukan pada 6 Julai lalu, antara pukul 3 pagi hingga 5 pagi di ruang tamu rumah sama dan pada 5 Februari 2022, sekitar pukul 8.30 malam hingga 12 tengah malam di dalam sebuah bilik di rumah sama.
Berikutan itu, tertuduh didakwa melakukan kesalahan di bawah Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017.
Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dihukum penjara tidak melebihi 20 tahun dan boleh juga disebat.
Timbalan Pendakwa Raya, Husni Fairos Ramly meminta mahkamah mengenakan jaminan tinggi terhadap tertuduh iaitu RM15,000 bagi setiap pertuduhan kerana kesalahan dilakukan di bawah Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017.
Peguam, Mohamad Zahid Ahmad memohon jaminan rendah atas alasan pendapatan anak guamnya terjejas sejak direman bulan lalu dan memerlukan bantuan keluarga untuk menjaminnya.
"Beliau juga telah hadir hari ini (Rabu) dan memberikan kerjasama yang sangat baik," kata Mohammad Zahid.
Mahkamah juga menetapkan jaminan RM40,000 bagi kesemua pertuduhan dan dilarang menghampiri mangsa serta saksi pendakwaan sehingga kes selesai.
Selain itu, tertuduh perlu melaporkan diri di balai polis berhampiran setiap bulan dan menyerahkan pasport kepada mahkamah.
Mahkamah turut menetapkan tarikh sebutan semula kes untuk serahan dokumen pada 8 Disember ini.
Sementara itu, PU Azman yang ditemui pemberita di mahkamah berterima kasih dan menghargai doa yang dikirimkan semua pihak kepadanya.