PU Azman didakwa kes seksual kali ketiga

Sinar Harian
Disember 21, 2022 13:28 MYT
PU Azman yang lebih dikenali sebagai Cik Man, didakwa kali ketiga atas satu pertuduhan melakukan amang seksual fizikal terhadap seorang pelajar lelaki berusia 17 tahun di Mahkamah Sesyen Ampang, hari ini. - Gambar SINAR HARIAN
AMPANG: PU Azman yang lebih dikenali sebagai Cik Man, didakwa kali ketiga atas satu pertuduhan melakukan amang seksual fizikal terhadap seorang pelajar lelaki berusia 17 tahun di Mahkamah Sesyen di sini, pada Rabu.
Azman, 41, atau nama sebenar, Azman Syah Alias mengaku tidak bersalah atas pertuduhan yang dibaca di hadapan Hakim Norhazani Hamzah.
Mengikut pertuduhan, Azman yang hadir di mahkamah dengan memakai kurta biru, didakwa melakukan kesalahan itu dalam bilik sebuah resort di Hulu Langat di sini, pada waktu tengah hari, 22 Julai lalu.
Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 14 (d) Akta Kesalahan-kesalahan Seksual Terhadap Kanak- kanak 2017 yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan boleh juga dikenakan hukuman sebat, jika sabit kesalahan.
Semasa prosiding, Timbalan Pendakwa Raya, Norhashimah Hashim tidak menawarkan ikat jamin kepada tertuduh.
"Namun sekiranya mahkamah mahu mengguna pakai budi bicara untuk memberikan ikat jamin, pendakwaan mencadangkan ia ditetapkan pada kadar tinggi dengan mengambil kira pertuduhan tersebut adalah serius.
"Mangsa dalam kes ini merupakan seorang kanak-kanak apatah lagi ia menarik perhatian umum ekoran status tertuduh, maka saya juga berharap dia dikenakan syarat tambahan iaitu tidak ganggu saksi," katanya.
Bagaimanapun, peguam, Mohamad Zahid Ahmad yang mewakili tertuduh merayu agar anak guamnya diberikan ikat jamin.
Menurutnya, Azman telah dituduh berhubung kes sama dan Mahkamah Klang telah membenarkan dia diikat jamin sebanyak RM24,000 manakala RM40,000 di Mahkamah Seremban.
“Saya dengan rendah diri memohon, jaminan paling minimum diberikan dan tidak keberatan sekiranya syarat tambahan dikenakan terhadap Azman," katanya.
Selepas mendengar permohonan daripada kedua-dua pihak, Norhazani membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM10,000 dengan seorang penjamin, dengan syarat tambahan iaitu melaporkan diri di balai polis sebulan sekali.
Dia juga dilarang untuk mendekati mangsa dan saksi serta pasport diserahkan kepada mahkamah.
Mahkamah kemudiannya menetapkan 10 Februari 2023 untuk sebutan semula kes.
Pada 7 Disember lalu, dia didakwa di Mahkamah Sesyen dan Majistret Klang, atas empat pertuduhan melakukan amang, komunikasi seksual dan kelucahan melampau terhadap tiga remaja lelaki berusia 17 dan 19 tahun, pada Februari hingga Ogos lalu.
Sementara di Mahkamah Sesyen Seremban, dia dituduh pada 12 Oktober, atas lima kes melakukan amang seksual terhadap dua remaja lelaki berusia 17 tahun, Februari dan Julai lalu.
* Artikel asal disiarkan di Sinar Harian.
#PU Azman #Cik Man #amang seksual #pelajar lelaki 17 tahun
;