PTPTN, UNIMAS meterai MoU galakkan budaya tabungan Simpan SSPN

Bernama
Mei 24, 2023 05:40 MYT
MoU itu akan dicapai menerusi pelbagai skop program antaranya penyaluran biasiswa atau bantuan kewangan pelajar yang disediakan universiti itu melalui akaun Simpan SSPN Prime.
KUALA LUMPUR: Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) dan Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) pada Rabu memeterai memorandum persefahaman (MoU) untuk menggalakkan pembudayaan penabungan melalui Skim Simpanan Pendidikan Nasional (Simpan SSPN) bagi seluruh warga universiti itu.
PTPTN dalam kenyataan memaklumkan MoU itu akan dicapai menerusi pelbagai skop program antaranya penyaluran biasiswa atau bantuan kewangan pelajar yang disediakan universiti itu melalui akaun Simpan SSPN Prime.
MoU yang diadakan di Rumah Universiti, UNIMAS, Kota Samarahan, Sarawak itu ditandatangani antara Ketua Eksekutif PTPTN Ahmad Dasuki Abdul Majid dan Naib Canselor UNIMAS Prof Datuk Dr Mohamad Kadim Suaidi.
Selain itu, PTPTN memaklumkan MoU tersebut turut bertujuan untuk jaringan kerjasama dalam meningkatkan kesejahteraan rakyat melalui tanggungjawab sosial korporat (CSR) antara UNIMAS dan PTPTN selain peluang mengadakan program Job Matching yang akan memberi manfaat kepada graduan universiti berkenaan.
"Malah melalui MoU itu, PTPTN dan UNIMAS bersetuju untuk meningkatkan kefahaman dan kesedaran pelajar tentang bayaran balik pinjaman serta memperkasakan penyelidikan dan pembangunan untuk memasarkan produk Simpan SSPN.
"Selaras dengan tujahan 'Community-Driven University', UNIMAS berupaya menjadi kampus contoh budaya penabungan bijak dengan pelbagai program penyampaian informasi oleh PTPTN, yang dijangka dapat memberi manfaat buat komuniti pelajar universiti yang berjumlah hampir 16,500 orang," menurut kenyataan itu.
PTPTN juga memaklumkan kerjasama antara pihaknya dan UNIMAS akan memberi impak positif kepada pelajar universiti itu untuk lebih cakna dan berpengetahuan mengenai perancangan kewangan melalui Simpan SSPN.
"UNIMAS yang diwakili Pusat Khidmat Pelajar, Hal Ehwal Pelajar dan Alumni merupakan sebuah universiti di Malaysia yang sentiasa berusaha meningkatkan dan menguatkan program pembelajarannya dan telah mengambil banyak inisiatif dalam melengkapkan kecemerlangan pendidikannya.
"Dengan kemudahan penyelidikan dan pembelajaran, pengalaman dan kumpulan pakar pelbagai bidang dalam kalangan kakitangannya, UNIMAS melaksanakan banyak kerjasama kolaboratif dengan pelbagai pihak bagi meningkatkan pengisian penyelidikan dan mengukuhkan jaringan industrinya," menurut kenyataan itu.
-- BERNAMA
#PTPTN #bantuan kewangan #Unimas #Simpan SSPN
;