PTPTN umum dividen tiga peratus Simpan SSPN

Ehsan A Marisah
Februari 22, 2022 16:40 MYT
Menurut Wan Saiful (kanan), pemberian tersebut melibatkan anggaran peruntukan sebanyak RM206.25 juta yang memberi manfaat kepada lebih 5.24 juta pendeposit Simpan SSPN. - Foto PTPTN
KUALA LUMPUR: Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) hari ini mengumumkan dividen Skim Simpanan Pendidikan Nasional (Simpan SSPN) bagi tahun 2021 adalah pada kadar tiga peratus.
Pengerusinya, Datuk Wan Saiful Wan Jan berkata, pemberian tersebut melibatkan anggaran peruntukan sebanyak RM206.25 juta yang memberi manfaat kepada lebih 5.24 juta pendeposit Simpan SSPN.
Katanya, kadar dividen tiga peratus tersebut diberi berdasarkan kepada pulangan bersih pelaburan yang telah dibuat atas deposit yang diterima PTPTN.
“Sekiranya dilhat kadar dividen tiga peratus ini berbanding dengan Kadar Dasar Semalaman (OPR) yang ditetapkan oleh Bank Negara Malaysia (BNM) pada 1.75 peratus dan keuntungan serta kadar faedah produk-produk simpanan ditawarkan oleh bank-bank tempatan bagi tahun 2021 yang kebanyakan adalah antara 1.5 hingga 2.2 peratus.
“Sesungguhnya, produk Simpan SSPN ini masih dilihat menawarkan pulangan menarik dan kompetitif,” katanya pada majlis Pengumuman Dividen Simpan SSPN 2021 dan Pelancaran Ganjaran Kesetiaan Simpan SSPN Prime 2022.
Dalam pada itu, tambah Wan Saiful, tahun 2021 mencatatkan jumlah deposit Simpan SSPN tertinggi, iaitu RM3.01 bilion dan menjadikan jumlah keseluruhan deposit sebanyak RM10.88 bilion setakat 31 Disember tahun lalu, manakala keuntungan pelaburan sebanyak RM267.61 juta.
Sementara akaun baharu yang dibuka pula ialah sebanyak 421,281 berbanding sasaran 400,000 akaun.
Pada masa sama, PTPTN turut melancarkan Ganjaran Kesetiaan Simpan SSPN Prime 2022 kepada pendeposit yang layak pada kadar satu peratus atas simpanan minimum RM500 dalam tempoh promosi bermula 22 Februari hingga 30 April 2022.
#dividen Simpan SSPN #PTPTN #Wan Saiful Wan Jan #SSPN Prime
;