PTPTN umum dividen SSPN 2022 sebanyak 3.05 peratus
Bernama
April 5, 2023 15:53 MYT
April 5, 2023 15:53 MYT
PUTRAJAYA: Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) hari ini mengumumkan dividen Skim Simpanan Pendidikan Nasional (Simpan SSPN) bagi 2022 sebanyak 3.05 peratus.
Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin pada Majlis Pengumuman Dividen Simpan SSPN 2022 dan Pelancaran Kempen Ganjaran Kesetiaan Simpan SSPN Prime 2023 di sini hari ini berkata pemberian dividen itu melibatkan anggaran peruntukan RM266.17 juta yang akan memanfaatkan kira-kira 5.73 juta pendeposit akaun Simpan SSPN.
"Dividen 3.05 peratus ini bukan sahaja lebih tinggi berbanding agihan dividen sebanyak 3 peratus pada 2021.
"Malah, merupakan kadar dividen yang kompetitif kerana lebih tinggi berbanding kadar keuntungan simpanan di akaun semasa dan simpanan tetap di sesetengah bank yang menawarkan kadar faedah keuntungan antara hanya 2.05 peratus hingga 2.75 peratus," katanya.
Turut hadir Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Mohammad Yusof Apdal, Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan Tinggi Datuk Seri Abdul Razak Jaafar dan Ketua Eksekutif PTPTN Ahmad Dasuki Abdul Majid.
Mohamed Khaled berkata sejak diperkenalkan pada 2004, PTPTN telah mengagihkan jumlah dividen keseluruhan bernilai RM1.33 bilion.
Setakat 31 Dis tahun lepas, sebanyak 5.73 juta akaun Simpan SSPN telah dibuka, melibatkan nilai deposit sebanyak RM14.24 bilion, katanya.
Mohamed Khaled berkata tahun lepas, Simpan SSPN merekodkan nilai simpanan yang membanggakan sekalipun negara berdepan dengan persekitaran ekonomi yang tidak menentu.
"Deposit Simpan SSPN yang diterima pada tahun lepas berjumlah RM3.36 bilion iaitu 119.93 peratus lebih tinggi berbanding sasaran awal sebanyak RM2.8 bilion.
"Jumlah ini menunjukkan peningkatan sebanyak RM350.55 juta berbanding 2021 yang mencatatkan nilai simpanan sebanyak RM3.01 bilion," katanya.
Dari segi pembukaan akaun baharu, Mohamed Khaled berkata sebanyak 491,984 akaun telah dibuka pada tahun lepas berbanding sasaran sebanyak 400,000 akaun.
"Kesemua pencapaian ini membuktikan keyakinan dan sokongan para pendeposit Simpan SSPN kekal utuh dan berterusan," katanya.
Beliau berkata sambutan menggalakkan masyarakat ke atas Simpan SSPN bukanlah sesuatu yang mengejutkan kerana simpanan itu disokong dengan pelbagai keistimewaan dan manfaat.
"Selain menjadi satu-satunya produk simpanan yang memberikan keistimewaan pelepasan taksiran cukai pendapatan ke atas simpanan hingga RM8,000 setahun, Simpan SSPN turut dilengkapi dengan perlindungan takaful ke atas pendeposit, Geran Sepadan hingga RM10,000 untuk satu keluarga yang layak, simpanan yang dijamin kerajaan dan pelaburan patuh syariah," katanya.
Mohamed Khaled pada majlis itu turut melancarkan Kempen Ganjaran Kesetiaan Simpan SSPN Prime 2023 pada kadar satu peratus sebagai hadiah istimewa kepada para pendeposit Simpan SSPN Prime yang membuat penabungan dalam jangka masa panjang dan sebagai ganjaran tambahan selain dividen tahunan.
Beliau berkata Ganjaran Kesetiaan itu akan dinikmati oleh pendeposit Simpan SSPN Prime yang membuat simpanan minimum RM500 dalam tempoh promosi iaitu bermula 5 April hingga 31 Julai 2023 dan layak disertai oleh pendeposit yang membuka akaun Simpan SSPN Prime pada 2004 hingga 31 Dis 2019.
"Dengan pemberian 3.05 peratus dividen dan satu peratus Ganjaran Kesetiaan, saya harap kedua-dua insentif ini akan terus memberi galakan dan meningkatkan keyakinan pendeposit Simpan SSPN," katanya.
Sementara itu, PTPTN dalam kenyataan medianya memaklumkan agihan dividen akan dimasukkan terus ke akaun Simpan SSPN dan pendeposit boleh membuat semakan penyata simpanan masing-masing secara dalam talian melalui portal rasmi www.ptptn.gov.my atau aplikasi myPTPTN mulai esok.
-- BERNAMA