PTPTN umum dividen Simpan SSPN 3.60 peratus untuk tahun 2023

Astro Awani
April 5, 2024 17:31 MYT
Zambry (tiga, kanan) bersama Norliza (dua, kanan) menunjukkan plakad dividen Simpan SSPN 2023. - Gambar PTPTN
PUTRAJAYA: Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) mengumumkan agihan dividen Skim Simpanan Pendidikan Nasional (Simpan SSPN) bagi tahun 2023 sebanyak 3.60 peratus.
Menteri Pendidikan Tinggi (KPT), Datuk Seri Zambry Abd Kadir berkata agihan itu melibatkan pemberian dividen dengan peruntukan RM357.65 juta yang memberi manfaat kepada 6.25 juta pendeposit.
Menurutnya, dengan pengumuman tersebut ia menjadikan jumlah keseluruhan agihan dividen sebanyak RM1.69 bilion sejak Simpan SSPN diperkenalkan 2004.
“Pemberian dividen 3.60 peratus bagi tahun 2023 ini adalah lebih tinggi berbanding agihan dividen sebanyak 3.05 peratus pada tahun 2022.
“Ini sekali gus menunjukkan kecekapan PTPTN dalam pengurusan dana simpanan dengan efektif berlandaskan tadbir urus yang cemerlang, berintegriti dan strategik bagi memastikan pulangan yang optimum diberikan kepada para pelanggan.
“Pembayaran dividen yang lebih tinggi juga disokong oleh pulangan pelaburan yang positif, dengan keuntungan pelaburan daripada pelaburan deposit untuk 2023 berjumlah RM446.22 juta,” katanya pada sidang media pengumuman dividen SSPN 2023 di kementeriannya di sini hari ini.
Turut hadir Pengerusi PTPTN, Datuk Norliza Abdul Rahim, Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Zaini Ujang dan Ketua Eksekutif PTPTN, Ahmad Dasuki Abdul Majid.
Dividen tersebut akan dimasukkan terus ke akaun Simpan SSPN dan pendeposit boleh membuat semakan penyata simpanan melalui aplikasi myPTPTN mulai Sabtu ini.
Pada tahun 2023, jumlah deposit Simpan SSPN ialah sebanyak RM3.15 bilion, dengan 513,002 akaun baharu direkodkan.
Manakala 2004 hingga 31 dismber 2023, deposit terkumpul di dalam Simpan SSPN adalah berjumlah RM17.39 bilion melibatkan 6.25 juta akaun.
Dalam pada itu, Pengerusi PTPTN, Datuk Norliza Abdul Rahim turut menyeru orang ramai terutamanya ibu bapa untuk membuka akaun Simpan SSPN untuk anak-anak.
“Saya ingin mengambil kesempatan ini mewakili PTPTN kita ingin mengucapkan terima kasih kepada semua pendeposit yang telah menyimpan dalam Simpan SSPN.
“Dan kita ingin menggalakkan kepada masyarakat di luar yang masih belum membuka akaun Simpan SSPN supaya membuka akaun Simpan SSPN seawal kecil anak itu dilahirkan supaya tidak perlu melakukan pinjaman apabila mahu melanjutkan pelajaran kelak.
“Selain menawarkan kadar dividen yang kompetitif, Simpan SSPN juga memberikan pelepasan taksiran cukai sehingga RM8,000, Geran Sepadan percuma sehingga RM10,000 serta perlindungan takaful ke atas pendeposit,” kata Norliza.
#Simpan SSPN #kadar dividen #Zambry Abdul Kadir #2023
;