PTPTN terima zakat perniagaan RM40,000 Bank Islam, bantu 400 anak asnaf

Bernama
September 15, 2020 13:17 MYT
PTPTN menyasarkan jumlah deposit SSPN bagi tahun ini ialah RM1.5 bilion dan badan tabungan itu optimis, sasaran dapat dicapai. - Gambar hiasan
Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) hari ini menerima sumbangan zakat perniagaan RM40,000, daripada Bank Islam Malaysia Berhad (BIMB).
Menerusi sumbangan itu, seramai 400 anak golongan asnaf menerima manfaat simpanan dalam akaun Skim Simpanan Pendidikan Nasional (SSPN) PTPTN, berjumlah RM100 seorang.
Ketua Eksekutif PTPTN Ahmad Dasuki Abdul Majid berkata, inisiatif yang dilaksanakan Bank Islam itu wajar dijadikan contoh kepada bank-bank dan syarikat korporat lain.
“Kami mengajak lebih banyak bank dan syarikat korporat untuk menyumbang zakat atau sumbangan lain dalam bentuk akaun SSPN, bagi bantu insan memerlukan,” katanya berucap pada majlis penyerahan zakat itu, di Ibu Negara, hari ini.
Turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif Bank Islam Mohd Muazzam Mohamed dan Pengerusi Baitulmal Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan Talmizi Yahya.
Dalam pada itu, Ahmad Dusuki berkata, PTPTN telah menerima sebanyak RM779.10 juta deposit SSPN, bagi tempoh Januari tahun ini hingga 31 Julai.
Jelasnya, PTPTN menyasarkan jumlah deposit SSPN bagi tahun ini ialah RM1.5 bilion dan badan tabungan itu optimis, sasaran dapat dicapai.
“Kami yakin sasaran dapat dicapai, walaupun berdepan impak COVID-19, trend pendeposit adalah mengikut sasaran.
“Kami lihat ada kesedaran ibu bapa untuk menabung dalam SSPN dan mungkin juga faktor kemudahan moratorium, yang membolehkan mereka menabung,” katanya.
-- BERNAMA
#Bank Islam #PTPTN #SSPN #tabungan #zakat
;