PTPTN terbaik rancang kewangan dan pendidikan masa depan

Ehsan A Marisah
Oktober 28, 2021 08:00 MYT
Wan Saiful berkata, masyarakat diharap menyedari akan kepentingan menabung dan tidak bergantung kepada hutang buat jangka masa yang lama. -Gambar PTPTN
KUALA LUMPUR: Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) komited menjadi platform penabungan terbaik buat rakyat Malaysia dan terus menyediakan pinjaman pendidikan kepada mereka yang kurang berkemampuan.
Pengerusi PTPTN, Datuk Wan Saiful Wan Jan berkata, pihaknya menawarkan pelbagai inisiatif menarik kepada para pelanggan, antaranya menerusi dua produk utama, iaitu Simpan SSPN yang terdiri daripada Simpan SSPN Prime dan Simpan SSPN Plus.
“Simpan SSPN Prime adalah pengganti kepada Skim Simpanan Pendidikan Nasional (SSPN-i) dengan pelbagai insentif ditawarkan, antaranya dividen kompetitif. Tahun lepas sebanyak 4 peratus dividen diberikan.
“Selain itu, ada juga perlindungan takaful yang percuma dan Geran Sepadan, iaitu bagi keluarga berpendapatan dibawah RM4,000 sebulan yang menabung dalam jangka masa panjang, dan sekiranya anak ingin menyambung pengajian di peringkat lebih tinggi, berpeluang dapat sehingga RM10,000,” katanya dalam program Agenda AWANI baru-baru ini.
Manakala, Simpan SSPN Plus pula adalah hasil kerjasama strategik antara PTPTN dengan Hong Leong MSIG Takaful Berhad (HLMT), Great Eastern Takaful Berhad (GETB) dan Takaful IKHLAS Family Berhad (TIFB) sebagai syarikat pengendali takaful.
“Ketiga-tiga syarikat ini diputuskan agar orang ramai boleh membuat pilihan terbaik. Kesemuanya memiliki kelebihan tersendiri, dan paling penting boleh mulakan deposit serendah RM30 sebulan.
“Antara manfaatnya adalah dari segi kematian, ada manfaat perlindungan takaful, khairat kematian, manfaat takaful penyakit kritikal dan selebihnya boleh melayari laman web di www.lovesspn.com.
"Pilihlah mana yang terbaik dan tepat untuk keluarga,” katanya.
Dalam pada itu, beliau menambah, selaras dengan Hari Tabungan Sedunia yang disambut pada 31 Oktober setiap tahun, PTPTN menganjurkan Program Bulan Menabung Simpan SSPN atau BMS 2021 bertemakan Galaksi dengan slogan ‘Jom Jadi Superhero Anak Anda’ bermula 1 hingga 31 Oktober ini.
“Antara program yang dijalankan adalah Forum Cakna Kewangan, Detik Indah Bersama Si Manja, My Parents, My Real Superheroes, Fotografi Simpan SSPN, Simpan SSPN Got Talent, Happy Hour, Chef Junior Simpan SSPN dan Sembang Santai Bersama Influencer.
“Tahun ini juga, kita mulakan seed funding kepada golongan asnaf melalui Jelajah Simpan SSPN 2021 dengan peruntukan sebanyak RM500,000 dan mereka akan menerima sumbangan tunai berbentuk akaun Simpan SSPN Prime.
"Ini adalah usaha membuktikan bahawa mereka juga boleh menabung,” ujarnya.
Sementara itu, Wan Saiful berkata, masyarakat diharap menyedari akan kepentingan menabung dan tidak bergantung kepada hutang buat jangka masa yang lama.
“Saya rasa amat penting untuk masyarakat sedar yang kita tidak boleh bergantung kepada hutang selama-lamanya, sampai masa perlunya tabungan untuk masa depan anak-anak dan keluarga, agar anak-anak dapat mempunyai masa depan yang lebih baik berbanding kita.
“Kami di PTPTN berusaha setakat yang termampu melalui penganjuran pelbagai program dan diharap masyarakat ambil bahagian dalam setiap program yang ditawarkan,” jelasnya lagi.
Agenda AWANI: BMS 2021 | Rancang kewangan dan simpanan pendidikan
#PTPTN #Simpan SSPN Prime #Simpan SSPN Plus #Wan Saiful Wan Jan
;