PTPTN sasar lantik 4,000 ejen untuk promosi SSPN-i-PLUS

Bernama
Ogos 22, 2016 16:32 MYT
Ejen yang dilantik akan dibayar komisyen sekiranya berjaya menarik orang ramai supaya membuka akaun tersebut sekali gus memberikan pendapatan sampingan. - Gambar fail
Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) menyasarkan untuk melantik 4,000 ejen dalam talian sehingga akhir tahun ini bagi membantu mempromosikan tabungan Skim Simpanan Pendidikan Nasional (SSPN-i-Plus).
Pengerusi PTPTN Datuk Shamsul Anuar Nasarah berkata pihaknya berharap menerusi ejen berkenaan sasaran untuk meningkatkan tabungan SSPN-i-Plus sehingga RM2 bilion tercapai.
Katanya ejen yang dilantik akan dibayar komisyen sekiranya berjaya menarik orang ramai supaya membuka akaun tersebut sekali gus memberikan pendapatan sampingan.
"SSPN-i Plus menawarkan pakej potongan gaji serendah RM30 sebulan manakala SSPN-i pula merupakan simpanan tetap yang ditawarkan kepada penyimpan untuk masa depan, katanya kepada pemberita selepas majlis penyerahan Wang Pendahuluan Pembiayaan (WPP) PTPTN di Dewan Merdeka di sini hari ini.
Pada majlis itu, seramai 238 pelajar di Parlimen Gerik, Lenggong, Kuala Kangsar dan Padang Rengas menerima WPP membabitkan peruntukan RM357,000.
Shamsul Anuar yang juga Anggota Parlimen Lenggong berkata sejak diperkenal pada Mei lalu sehingga kini pihaknya mempunyai seramai 2,000 ejen dalam talian dan kebanyakannya adalah pengguna media sosial.
Dalam perkembangan lain, Shamsul berkata 1.3 juta peminjam daripada 2.5 juta peminjam yang disenarai dalam Sistem Rujukan Kredit Bank Negara (CRISS) telah diambil tindakan termasuk sekatan ke luar negara oleh Jabatan Imigresen.
Selain itu, Shamsul Anuar berkata PTPTN menetapkan sasaran untuk mendapatkan balik pinjaman sebanyak RM15 bilion menjelang 31 Dis tahun ini dan setakat ini pihaknya baru mengutip RM8.6 bilion.
Mengenai tindakan terhadap mahaisiswa yang melakukan demonstrasi, Shamsul Anuar berkata PTPTN hanya akan mengambil tindakan apabila pihak universiti membuktikan pelajar tersebut bersalah.
#PTPTN #Shamsul Anuar Nasarah #Skim Simpanan Pendidikan Nasional #SSPN-i-Plus
;