PTPTN lancar kempen LESTARIPendidikan, komitmen kelestarian dana pendidikan negara

Amzar Alif
Disember 23, 2024 17:54 MYT
Pengerusi PTPTN, Datuk Seri Norliza Abdul Rahim (dua dari kiri) bersama Ketua Eksekutif PTPTN, Ahmad Dasuki Abdul Majid (dua dari kanan) memegang plakad ketika Peluncuran Kempen LESTARIPendidikan di Ibu Pejabat PTPTN, Kuala Lumpur. - Gambar PTPTN
KUALA LUMPUR: Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) melancarkan kempen LESTARIPendidikan bagi memastikan pendidikan tinggi di Malaysia kekal inklusif, mampan, dan relevan untuk generasi akan datang.

Ringkasan AI
  • PTPTN melancarkan kempen LESTARIPendidikan untuk memastikan pendidikan tinggi di Malaysia kekal inklusif, mampan, dan relevan, serta menekankan tanggungjawab sosial dan kewangan peminjam.
  • Inisiatif seperti #PTPTNBolehBincang dan #PTPTNSediaBantu diperkenalkan untuk membantu peminjam dengan pelan pembayaran fleksibel dan saluran pembayaran yang lebih mudah, cepat, dan selamat.
  • Kempen ini bertujuan menggalakkan peminjam melaksanakan tanggungjawab kewangan mereka untuk memastikan kelangsungan dana pendidikan, menyokong lebih 450,000 peminjam sedia ada dan 150,000 peminjam baharu setiap tahun.

Pengerusi PTPTN, Datuk Seri Norliza Abdul Rahim berkata inisiatif itu membawa mesej penting tentang tanggungjawab sosial dan kewangan peminjam dalam menjamin kelestarian dana pendidikan negara.
“Melalui LESTARIPendidikan, PTPTN bukan sahaja memenuhi tanggungjawab sosialnya tetapi turut memainkan peranan penting dalam membentuk modal insan negara.
"Pendidikan tinggi adalah landasan untuk meningkatkan taraf hidup yang hanya dapat direalisasi jika dana pendidikan kekal mampan,” katanya pada majlis pelancaran di Dewan Besar, Menara PTPTN.
Kempen ini juga selari dengan aspirasi Malaysia MADANI dan Pelan Strategik Pendidikan Tinggi Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) yang menumpukan kepada kesejahteraan, keadilan sosial dan kemampanan.
Antara inisiatif di bawah kempen ini termasuk #PTPTNBolehBincang, yang memberi peluang kepada peminjam berbincang atau berunding untuk pelan pembayaran fleksibel iaitu menstrukturkan semula bayaran balik mengikut kemampuan kewangan mereka dan #PTPTNSediaBantu bagi memudahkan peminjam berurusan dengan menyediakan pelbagai saluran pembayaran lebih mudah, cepat, dan selamat.
Sehingga September 2024, tunggakan pinjaman PTPTN berjumlah RM11.32 bilion melibatkan lebih 1.25 juta peminjam culas.
Oleh itu, melalui kempen ini PTPTN berharap dapat menggalakkan peminjam melaksanakan tanggungjawab kewangan mereka untuk memastikan kelangsungan dana pendidikan yang menyokong lebih 450,000 peminjam sedia ada dan 150,000 peminjam baharu setiap tahun.
Norliza turut menyeru masyarakat termasuk universiti, alumni dan NGO untuk turut bersama menyokong usaha ini.
“Pendidikan tinggi adalah amanah bersama. Kegagalan membayar balik bukan sahaja menjejaskan dana tetapi juga masa depan ribuan pelajar yang memerlukan.
"Dengan tindakan kolektif, kita dapat memastikan sistem pendidikan tinggi terus kukuh dan inklusif,” tambahnya.
Kempen tersebut berteraskan kepada empat elemen penting iaitu Transformasi, Aspirasi, Realisasi dan Inovasi.
“Transformasi untuk meningkatkan kesedaran tentang peranan PTPTN dalam akses pendidikan tinggi; Aspirasi untuk menyokong pelajar mencapai impian pendidikan tertinggi; Realisasi bagi memastikan peluang pendidikan berterusan melalui pembayaran balik peminjam yang bertanggungjawab.
“Manakala Inovasi pula, dengan memperkenalkan aplikasi seperti myPTPTN dan myWaqafPTPTN untuk memudahkan urusan pembayaran dan pengurusan pinjaman
Untuk maklumat lanjut boleh layari portal rasmi PTPTN di www.ptptn.gov.my.
#PTPTN #pinjaman pendidikan #Datuk Seri Norliza Abdul Rahim #LESTARIPendidikan #PTPTNBolehBincang #PTPTNSediaBantu
;