PTPTN keluar waran Wang Pendahuluan Pembiayaan RM31 juta
Bernama
Ogos 19, 2019 05:27 MYT
Ogos 19, 2019 05:27 MYT
Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) mengeluarkan waran Wang Pendahuluan Pembiayaan (WPP) sebanyak RM31 juta kepada 20,716 pelajar bagi kemasukan pengajian peringkat ijazah ke universiti awam sesi September 2019.
Pengerusinya Wan Saiful Wan Jan berkata pemberian WPP ini adalah permulaan kepada usaha PTPTN untuk memastikan bahawa tidak ada pelajar yang tidak boleh melanjutkan pelajaran ke Institusi Pengajian Tinggi (IPT) disebabkan masalah kewangan.
"WPP RM1,500 diberikan bagi setiap seorang pelajar warganegara Malaysia yang telah membuat persetujuan menerima WPP melalui saluran yang ditetapkan oleh PTPTN semasa memohon UPU Online atau pun melalui portal kemasukan IPT.
"Ibu bapa pelajar mestilah penerima Bantuan Sara Hidup Rakyat (BSH) serta memenuhi kriteria yang ditetapkan oleh PTPTN," katanya kepada pemberita selepas majlis penyerahan WPP di sini pada Isnin.
Bagi negeri Perlis, seramai 231 pelajar akan ditawarkan WPP bagi sesi ini dengan peruntukan sebanyak RM346,500.
Wan Saiful berkata surat tawaran WPP yang diberikan mempunyai tempoh sah laku selama dua bulan dan tempoh sah laku tawaran WPP pada kali ini adalah pada 27 Ogos 2019 hingga 27 Oktober 2019.
Pelajar boleh menunaikan WPP ini di mana-mana kaunter Bank Islam mulai 27 Ogos 2019 dengan membawa surat tawaran dan juga MyKad pelajar itu sendiri dan wakil adalah tidak dibenarkan.
Wan Saiful turut mengingatkan para pelajar berkenaan untuk membuat permohonan pinjaman PTPTN secara online melalui Portal PTPTN mulai 1 Ogos 2019 hingga 31 Ogos 2019 bagi memastikan pinjaman dapat diproses dan diluluskan sebagaimana sepatutnya.
"Pelajar hendaklah merujuk kepada Bahagian Hal Ehwal Pelajar IPT masing-masing atau terus kepada PTPTN sekiranya terdapat sebarang keraguan atau kekeliruan," katanya.
Pada majlis itu juga, beliau turut menyampaikan zakat PTPTN bernilai RM5,000 kepada seorang pelajar asnaf Perlis, Nurul Ain Mohamad Firdaus, 18.
Beliau berkata zakat PTPTN mula ditubuhkan pada 2016 untuk memastikan PTPTN patuh syariah.
-- BERNAMA
#pengajian peringkat ijazah
#Pengerusi PTPTN
#Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional
#PTPTN
#Wan Saiful Wan Jan
#wang pendahuluan pembiayaan
#waran WPP