PTPTN: Isu potongan gaji akan dibawa ke Kabinet - Syed Saddiq
Harits Asyraf Hasnan
Disember 6, 2018 14:35 MYT
Disember 6, 2018 14:35 MYT
Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman akan membawa isu Potongan Gaji Berjadual (PGB), Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) kepada mesyuarat jemaah menteri pada Jumaat.
Menerusi video yang dimuat naik di Twitter, Syed Sadiq berkata sistem dan jumlah bayaran adil untuk golongan muda perlu dilaksanakan oleh PTPTN.
Jelasnya, sistem PGB itu dilihat tidak adil kepada mereka yang secara konsisten membuat pembayaran mengikut perjanjian yang dibuat bersama PTPTN.
"Saya ambil maklum pandangan dan rintihan yang disampaikan oleh anak muda berkenaan kadar bayaran semula PTPTN. Pada esok hari, semasa mesyuarat jemaah menteri, saya akan bawa suara anda supaya kes ini dapat dipertimbangkan semula.
"Saya percaya, walaupun kita perlu membayar semula hutang, bayar tetap bayar, tetapi pembayaran itu perlu adil untuk membantu anak muda dan tidak terlalu membebankan mereka.
"Khususnya kepada anak muda yang telah pun selama ini mambayar PTPTN, selepas berunding dengan PTPTN, patuh kepada syarat dan bayar menepati masa," katanya.
Beliau pada masa sama berterima kasih kepada peminjam PTPTN kerana menyampaikan pandangan kepadanya.
#bayaran balik PTPTN
#bayaran PTPTN
#hutang PTPTN
#Menteri Belia dan Sukan
#PGB
#Potongan Gaji Berjadual
#Syed Saddiq Syed Abdul Rahman