PTPTN: Antara janji kerajaan dan logik akal belia

Khairul Anwar Ahmad Nadzer
September 15, 2019 23:37 MYT
Adat meminjam, ia wajib dipulang. - Gambar fail/BERNAMA
SEBUT sahaja PTPTN, pelbagai reaksi semestinya timbul di minda anak muda.
Perasaan gelisah, marah, serba salah dan berserah pastinya bercampur baur setiap kali isu ini dibincangkan di pelbagai peringkat. Isu PTPTN ini merupakan isu yang sangat sinonim dengan anak muda, sehingga ia menjadi satu bahan politik untuk mendapat sokongan-sokongan anak muda.
Isu janji untuk menyelesaikan isu hutang PTPTN secara politiknya diperjuangkan oleh pakatan pembangkang (kini kerajaan) sejak sekian lama.
Ini juga disokong penuh oleh gerakan-gerakan mahasiswa pro pembangkang pada masa tersebut.
Sebagai anak muda, sudah pasti janji-janji seperti menyediakan pendidikan percuma, menghapuskan hutang PTPTN atau mana-mana pinjaman pelajaran merupakan satu janji yang amat menghairahkan.
Jadi sudah semestinya selepas Pakatan Harapan berjaya menakluk Putrajaya dan kini menjadi kerajaan, janji ini dituntut bermati-matian.
Dalam laras bahasa yang paling mudah, Pinjaman Tabung Pengajian Tinggi Nasional (PTPTN) adalah kemudahan pinjaman pembelajaran yang diberikan kepada meraka yang layak untuk membiayai yuran pengajian di institusi pengajian tinggi awam mahupun swasta.
Adat meminjam, ia wajib dipulang.
Selaras dengan terma dan rujukan yang telah dipersetujui bersama semasa, pinjaman ini hendaklah dibayar mengikut ketetapan.
Namun, akibat isu-isu sering dipolitikkan, rata-rata peminjam PTPTN mula culas dalam membayar balik pinjaman tanpa paksa yang dibuat ini.
Di peringkat pentadbiran PTPTN, sebut sahaja apa inisiatif yang tidak dilakukan oleh PTPTN bagi memastikan peminjam membayar balik pinjaman mereka.
Penurunan ujrah 3% kepada 1%, kadar minimum bayar balik RM40 sebulan, promosi dan insentif bayaran balik, diskaun, penukaran pinjaman kepada biasiswa untuk pelajar cemerlang dan pelbagai lagi usaha telah pun dilakukan.
Sebagai peminjam, adalah diyakini tidak ada satu entiti kewangan yang ‘selembut’ PTPTN dalam isu mengutip hutang daripada peminjam.
Atas desakan politik, PTPTN dilihat mengambil beberapa langkah yang bersifat terpaksa bagi menurut kehendak aktor politik ini walaupun ia bukan merupakan tindakan wajar.
PTPTN sebagai contoh telah menyenaraihitamkan peminjam yang tidak membayar balik pinjam dengan mengenakan sekatan untuk keluar negara.
Namun atas keputusan politik, ia ditarik balik walaupun kemudiaanya, sekatan ini kembali dipertimbangkan semula.
Maka jelas, faktor politik amat mendahului kepentingan organisasi dalam hal ini.
Kiraan matematik mudah, kerajaan harus membelanjakan RM40 bilion (setakat Mei 2019) untuk melunaskan hutang PTPTN bagi semua peminjam yang masih berhutang.
Jika ia boleh direalisasikan sekali pun, atas faktor-faktor keadilan, kerajaan harus juga membayar semula pinjaman-pinjaman yang telah dibayar oleh peminjam sebelum ini yang melibatkan pertambahan sebanyak lebih kurang RM20 billion.
Ini adalah jelas kerana mengikut rekod, tidak semua yang masih berhutang itu adalah golongan yang tidak mampu dan tidak semua juga yang konsisten mambayar hutang itu adalah golongan yang mampu. Ia hanya berkaitan etika dan perasaan tanggungjawab individu tersebut.
Untuk menjadikan isu ini tambah menarik, keistimewaan ini juga tidak adil jika hanya diberikan kepada peminjam PTPTN kerana terdapat ramai lagi graduan yang meminjam di tempat lain dan masih berhutang.
Pinjaman daripada MARA, Yayasan atau pun yang menanggung yuran pengajian secara peribadi juga harus dibayar semula.
Sudah tidak terkira jumlah ringgit yang terlibat, jika isu hutang dan pendidikan percuma ini ingin diselesaikan.
Justeru, dapat kita fikir mengikut logik akal bahawa perkara ini adalah hampir pasti tidak dapat dilaksanakan.
Berilah apa jua formula matematik ekonomi sekali pun, ia hampir pasti tidak dapat dilaksanakan.
Sebenarnya, untuk memikirkan hal ini tidak perlu ulasan cerdik pandai ekonomi dan akaun.
Ia hanya memerlukan logik akal anak muda serta perasaan tanggungjawab mereka bahawa ia sememangnya tidak masuk akal dan peminjam harus bayar kembali pinjaman mereka.
Jika dikaji di peringkat antarabangsa, tiada negara yang kadar pertumbuhan ekonomi dan pendapatan negara yang lebih kurang sama dengan Malaysia, mampu memberikan pendidikan percuma hingga ke peringkat pengajian tinggi.
Hanya negara berpendapatan tinggi dapat melaksanakan perkara tersebut dan ia hanya diberikan kepada mereka yang benar-benar layak (konsep biasiswa).
Mengikut kajian juga, Malaysia sebenarnya adalah salah sebuah negara yang memberikan pendidikan dengan kadar yang sangat minimum atas faktor jumlah IPTA (subsidi kerajaan) yang banyak serta pengecualian bayaran pinjaman kepada pelajar cemerlang termasuklah PTPTN.
Namun, masih lagi mereka culas membayar dengan memberikan alasan bahawa kerajaan sudah pun berjanji.
Memang benar jika kerajaan telah pun berjanji, ia wajar ditepati.
Namun dari satu lagi sudut, anak muda sepatutnya berfikiran lebih waras bahawa janji ini sememangnya sesuatu yang mustahil untuk ditepati.
Kita tidak harus berbicara politik di sini.
Terpulang kepada anak muda bagaimana mereka ingin menghukum siapa jua yang tidak menepati janji.
Apa yang pasti, mereka tidak boleh menjadikan ini sebagai alasan untuk tidak membayar kembali pinjaman yang telah dilakukan.
Isu ini adalah sangat memberi impak yang besar dalam pentadbiran negara.
PTPTN sebagai contoh memerlukan wang dalam kitaran operasinya bagi memastikan mereka terus dapat memberikan pinjaman kepada golongan yang memerlukan kelak.
Hutang PTPTN ini juga dilihat memberi kesan kepada prestasi hutang negara.
Maka, anak muda harus punya sikap tanggungjawab dalam membayar kembali hutang-hutang ini, dan bukannya mengambil kesempatan terhadap isu politik.
Tuntasnya, isu PTPTN ini harus ada titik berhenti yang jelas.
Buat peminjam yang rata-ratanya golongan muda, sedarlah dan berilah tanggungjawab dan etika yang sehabis tinggi terhadap wang yang telah dipinjam.
Hutang itu wajib dibayar dan jangan ambil kesempatan terhadap isu-isu politik yang ada.
Jika ditakdirkan ekonomi negara menjadi lebih baik sekali pun, biarlah pendidikan percuma ini dinikmati oleh anak cucu kita, dan bukannya digunakan untuk membayar kembali beban-beban yang kita cipta.
Paling mustahak, berhenti mendesak dan menuntut perkara yang bukan-bukan, kerana di satu suduh ia sebenarnya satu beban dalam persekitaran politik.
Buat aktor politik pula, ini juga menunjukkan bahawa aspek integriti terutama dalam merangka manifesto itu adalah amat mustahak.
Aktor politik harus segera berhenti mempolitik dan mempertahankan isu ini kerana kesannya adalah amat buruk.
Isu kadar hutang belia yang tinggi ini sebenarnya berlaku di seantero dunia.
Apa yang mustahak adalah kerajaan harus membantu belia dalam menyelesaikan masalah ini dengan menyediakan pekerjaan yang cukup atau peluang perniagaan yang baik untuk golongan belia, bukannya cuba menjadi juara bagi menghapuskan hutang pinjaman mereka.
Isu ini harus diselesaikan segara sebenarnya amat wajar untuk dijadikan permulaan ke arah politik Malaysia yang lebih matang.
Terakhir, PTPTN juga harus berani mengambil tindakan yang lebih tegas dalam memastikan peminjam membayar balik pinjaman.
Keputusan menyekat mereka untuk ke luar negara adalah satu tindakan yang amat wajar.
PTPTN juga wajar mewajibkan potongan gaji atau menghalang mereka memiliki aset yang bernilai tinggi.
Konsep perbincangan dan konsultasi antara PTPTN dengan peminjam seperti yang sedia ada sekarang wajar diteruskan.

* Khairul Anwar Ahmad Nadzer merupakan pelajar sarjana Pusat Pengajian Perang Saraf Media dan Informasi, Fakulti Pengajian Komunikasi dan Media, UiTM.
**Beliau juga merupakan Ahli Persidangan Meja Bulat Kluster Kenegaraan (Sosialisasi Politik), Institut Pembangunan Kecemerlangan Kepimpinan i-LEAD.
*** Artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semstinya mewakili pandangan sidang pengarang Astro AWANI.
#bayaran balik pinjaman #hutang #hutang PTPTN #Khairul Anwar Nadzer #Kolumnis AWANI #Logik akal anak muda #pinjaman pendidikan #PTPTN
;