PTMP perlu penyertaan pakar antarabangsa - NGO

Bernama
Disember 8, 2022 17:54 MYT
PTMP dirangka oleh kerajaan negeri Pulau Pinang untuk mengatasi masalah trafik di Pulau Pinang dan dijangka menelan perbelanjaan sebanyak RM46 bilion. - Foto FB Consumers Association Penang
GEORGE TOWN: Beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) berkaitan alam sekitar di Pulau Pinang mencadangkan kepada kerajaan negeri agar mengkaji semula Pelan Induk Pengangkutan Pulau Pinang (PTMP) dengan memasukkan penyertaan pakar antarabangsa bagi mencari penyelesaian yang mampan berhubung projek itu.
Ahli Jawatankuasa Pemandu Penang Forum, Dr Lim Mah Hui yang mengetuai sidang akhbar NGO itu berkata pihaknya mencadangkan penyertaan pakar dari Institut Dasar Pengangkutan dan Pembangunan (ITDP) yang berpangkalan di New York kerana mempunyai kepakaran yang tinggi dalam mencari penyelesaian mampan bagi projek-projek mega melibatkan kos besar.
"Institut itu juga bukan berasaskan keuntungan dan kami berpendapat penglibatan pakar antarabangsa bebas bagi menilai projek PTMP itu juga dapat menamatkan pertikaian mengenai projek berkenaan.
''Sudah tentu, permintaan ini tidak terlalu berat memandangkan puluhan bilion ringgit dipertaruhkan bagi melaksanakan projek PTMP tersebut,'' katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.
Sidang akhbar itu dihadiri wakil beberapa NGO lain seperti Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP), Jaringan Ekologi dan Iklim, Sahabat Alam Malaysia(SAM) dan Penang Heritage Trust.
PTMP dirangka oleh kerajaan negeri Pulau Pinang untuk mengatasi masalah trafik di Pulau Pinang dan dijangka menelan perbelanjaan sebanyak RM46 bilion.
Untuk membiayai projek itu, kerajaan negeri akan melaksanakan projek tambak laut Penang South Islands (PSI) dan projek berkenaan mendapat kritikan banyak pihak kerana ia didakwa merosakkan alam sekitar.
Lim berkata pihaknya secara konsisten menegaskan bahawa projek seperti PTMP menelan kos yang amat besar dan tidak mampan serta berharap agar usaha kerajaan Persekutuan untuk berhemat dalam perbelanjaan akan diperluaskan lagi kepada projek mega yang tidak mampan dari segi ekologi dan kewangan di Pulau Pinang.
"Kami harap kerajaan Pusat perlu pastikan PTMP tertakluk kepada semakan pakar antarabangsa yang benar-benar bebas,'' katanya.
Katanya pihaknya juga akan menulis surat rasmi kepada Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim agar kerajaan Pusat dapat mengkaji semula projek mega yang melibatkan berbilion ringgit dana awam seperti PTMP.
Sementara itu, Presiden CAP, Mohideen Abdul Kader berkata kerajaan Persekutuan perlu menolak projek mega seperti PTMP kerana ia berisiko tinggi kepada alam sekitar dan rakyat.
''Sekiranya pembangunan mahu dijalankan, tanah-tanah di kawasan Seberang Perai masih ada, tidak perlu melibatkan tambakan laut yang akan jejaskan keselamatan makanan kita," katanya.
-- BERNAMA
#NGO #pulau pinang #Pelan Induk Pengangkutan Pulau Pinang #Dr Lim Mah Hui
;