PT3: Susah dapat 'semua A' tetapi lebih peluang lahir modal insan berkualiti - SAMM
Astro Awani
Disember 23, 2014 15:27 MYT
Disember 23, 2014 15:27 MYT
Keputusan Pentaksiran Tingkatan 3 (PT3) semalam, walaupun tidak lagi mencatat fenomena biasa deretan 'semua A', dilihat dapat melahirkan pelajar yang mempunyai modal insan yang berkualiti.
Pengasas Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM), Badrul Hisham Shaharin atau Chegubard berkata, keputusan PT3 yang diumum pada Isnin mematikan semua angan-angan keputusan 'semua A' seperti yang biasa diperoleh pada Penilaian Menengah Rendah (PMR) sebelum ini.
"Ramai yang agak kecewa dengan keputusan yang diraih. Bukan sahaja pelajar, malah ibu bapa. Lalu, meletuslah di laman-laman sosial akan isu ini.
"Mengapa? Kerana selama bertahun-tahun masyarakat telah menerima satu konsep peperiksaan peringkat sekolah yang sangat mudah untuk mendapatkan gred A.
"Tiba-tiba PT3 telah mematikan angan-angan jalan mudah ini seperti PMR sebelum ini. PT3 tidak lagi melahirkan deretan pelajar "Straight A's.
"Sangat sedikit jumlahnya walaupun bersekolah di Sekolah Berasrama Penuh (SBP) terkenal atau Maktab Rendah Sains Mara (MRSM)," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Namun katanya, pentaksiran PT3 ini bukanlah pengakhiran kepada masa depan pelajar, sebaliknya perlu dipandang positif untuk mempertingkatkan motivasi mereka bagi meraih keputusan yang lebih cemerlang di dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan di peringkat lebih tinggi kelak.
"Realitinya, tidak semua pelajar yang mendapat deretan A di dalam PMR mampu menggapai deretan A juga di dalam SPM dan terus menggondol '4 flat' Purata Nilai Gred Kumulatif (CGPA) di peringkat Universiti.
"Masyarakat tidak perlu gusar. Tidak semua orang yang berjaya dan menjadi kaya raya dengan hanya menjadi jurutera, saintis, dan doktor.
"Ada juga yang berjaya dengan menjadi seniman, penulis novel, peguam, akauntan, peniaga, ahli sukan dan sebagainya.
"Sama ada kita mahu modal insan yang berkualiti atau tidak, kitalah yang mencorakkan. Dan dunia ini tidak akan pernah cukup untuk manusia yang tamakkan 'A' dalam peperiksaan," jelasnya.
Jelasnya, struktur soalan subjektif yang menyediakan 'open response', berbanding struktur soalan objektif yang menyediakan 'multiple choice response' dalam PMR akan membuka lebih ruang kepada pelajar untuk menghadam aspek kemahiran berfikir dengan kritis berbanding soalan objektif.
"Pelajar tidak lagi sekadar menghafal sukatan pelajaran, tetapi juga perlu memahami dengan tuntas supaya mereka dapat menulis jawapan dengan baik dalam peperiksaan.
"Selain itu, markah dan gred telah ditetapkan sejak dari awal dan tidak diubah mengikut keadaan melahirkan manusia gred A yang sebenarnya. Bukan lagi sekadar melahirkan manusia gred A di atas kertas semata-mata.
"Biarpun kuantiti Gred A ini sedikit berbanding PMR, namun realitinya mereka-mereka ini memang mempunyai merit untuk mendapat A dalam satu-satu mata pelajaran," katanya.