PT3: Belum ada keputusan rasmi - Radzi Jidin

Eton Khir
Februari 21, 2022 13:43 MYT
Radzi ketika sidang media pada majlis pelancaran Sekolahku SEJAHTERA di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) hari ini. - Foto BERNAMA
PUTRAJAYA: Kementerian Pendidikan (KPM) belum membuat sebarang keputusan rasmi berhubung pelaksanaan Pentaksiran Tingkatan Tiga (PT3) bagi sesi 2022.
Menurut Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Radzi Jidin, pihaknya masih sedang meneliti pendekatan sesuai berhubung pelaksanaan PT3 tersebut dengan mengambil kira tahap penguasaan murid dan indikasi daripada sesi persekolahan 2021 yang masih berlangsung.
"Kita belum membuat sebarang keputusan berkaitan dengan PT3. Ini harus jelas. Belum ada sebarang keputusan rasmi oleh pihak KPM berkaitan dengan PT3.
"Justeru, kementerian sedang meneliti apakah pendekatan atau indikasi paling sesuai berkaitan PT3 ini dengan mengambil kira tahap penguasaan pelajar di sekolah," katanya pada sidang media selepas Pelancaran Sekolahku SEJAHTERA di Dewan Perdana Putrajaya International Convention Centre (PICC), di sin pada Isnin.
Sebelum ini, tular di media sosial berhubung pemakluman pelaksanaan PT3 yang akan diadakan semula pada Oktober hingga November tahun ini selepas ditangguhkan pada 2020 dan 2021 susulan ancaman pandemik COVID-19.
Semakan mendapati hantaran itu telah dipadamkan.
#Pentaksiran Tingkatan Tiga #KPM #PT3 #Radzi Jidin
;