PSU bersasar sektor pelancongan wajar dilanjut tiga bulan lagi - DAP
Afiezy Azaman
Jun 25, 2022 13:07 MYT
Jun 25, 2022 13:07 MYT
KUALA LUMPUR: DAP menyeru kerajaan melanjutkan Program Subsidi Upah (PSU) bersasar selama tiga bulan lagi untuk perusahaan pelancongan bagi memastikan sektor itu terus pulih dengan lancar.
Menurut Jurucakap DAP untuk Pelancongan, Seni dan Budaya, Khoo Poay Tiong, kebanyakan penggiat pelancongan masih menghadapi pelbagai rintangan seperti masalah kekurangan pekerja, kenaikan gaji minima dan kadar inflasi yang semakin meruncing.
"Pelanjutan PSU bersasar ini dapat membantu sektor pelancongan mengurangkan kesan daripada kenaikan gaji minima dan harga barangan baru-baru ini.
"Selain itu, PSU bersasar membolehkan para pengusaha menawarkan gaji yang lebih tinggi untuk meringankan masalah kekurangan pekerja dalam jangka masa pendek sebelum mereka pulih sepenuhnya," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Kata Khoo, di bawah Belanjawan 2022, kerajaan memperuntukkan subsidi upah berjumlah RM600 juta khas untuk sektor pelancongan.
Bagaimanapun, inisiatif itu hanya untuk tiga bulan dan ia kini telah tamat.
Sehubungan itu, DAP menyeru kerajaan melanjutkan PSU bersasar ini untuk tempoh tiga bulan lagi dengan peruntukan tambahan sebanyak RM250 juta.
"Peruntukan ini dapat menyalurkan subsidi RM300 sebulan untuk setiap pekerja.
"Secara keseluruhannya, pelanjutan PSU bersasar ini akan memanfaatkan lebih 20,000 perusahaan dan 300,000 pekerja di sektor pelancongan," jelasnya.
Katanya, jumlah RM250 juta itu boleh diperolehi daripada peruntukan sedia ada di dalam Belanjawan 2022, seperti RM4.8 bilion yang diperuntukkan di bawah inisiatif Jamin Kerja dan RM230 juta yang diperuntukkan di bawah Pelan Pemulihan Pelancongan.
"Oleh itu, tiada peruntukan tambahan diperlukan untuk melanjutkan PSU bersasar ini.
"Kerajaan sekadar perlu bertindak dengan lebih fleksibel dan responsif terhadap keadaan dan keperluan semasa sektor pelancongan dengan melaraskan semula peruntukan sedia ada," katanya.