PSH berjaya dapat penyertaan golongan sasar
Bernama
April 14, 2019 04:42 MYT
April 14, 2019 04:42 MYT
Pembelajaran Sepanjang Hayat (PSH) yang dilaksanakan oleh kolej komuniti seluruh negara berjaya mendapat penyertaan 26,370 golongan sasar dari kalangan B40, ibu tunggal dan golongan belia, melalui lebih 12,000 program di kolej berkenaan, tahun lalu.
Menteri Pendidikan Dr Maszlee Malik berkata selain PSH, kolej komuniti juga menjalankan program Pembelajaran Islam Sepanjang Hayat (PISH) serta program kemahiran, latihan kemahiran teknikal dan vokasional (TVET).
Katanya dalam masa yang sama kolej komuniti kini turut melaksanakan latihan dan berkongsi ilmu berkaitan TVET ke beberapa sekolah tahfiz di dalam negara.
"Semenjak dibuka pada tahun 2002 sehingga 2018, program PISH berjaya mendapat penyertaan sebanyak 141,925 dari 5,026 program yang dilaksanakan, serta telah berjaya melaksanakan 122,591 program PSH dengan seramai 2.63 juta penyertaan," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan program PSH dan pengoperasian premis sementara untuk Kolej Komuniti Simpang Renggam di Pusat Kegiatan Guru (PKG) Bandar Renggam, di sini, pada Ahad.
Maszlee berkata kewujudan kolej komuniti sejak tahun 2002 juga telah memperkenalkan komuniti kepada program PSH, termasuk program jangka pendek untuk meningkatkan kemahiran individu, sekaligus menjadikan komuniti sedar akan pentingnya pembelajaran yang berterusan juga peningkatan ilmu serta kemahiran.
Beliau yang juga Anggota Parlimen Simpang Renggam berkata sektor ekonomi, pemasaran, keperluan kemahiran, teknologi dan permintaan industri adalah beberapa aspek kehidupan yang sentiasa berkembang dan permintaan serta keperluannya akan berubah.
Jelasnya selaras dengan teknologi terkini, program PSH di kolej komuniti juga akan memperkenalkan kursus pendek yang menyokong ke arah era Revolusi Industri 4.0(IR 4.0) dan program PSH Bermodul, ke arah penganugerahan kredit, di mana kredit yang terkumpul boleh digunakan untuk pengajian formal yang lebih tinggi
"Sebagai contoh, memasuki era IR 4.0 ini komuniti diperkenalkan kepada telefon pintar dan keperluan internet, wujudnya kemudahan berkongsi informasi dan membuat jualan melalui aplikasi WhatApps, Telegram, Instagram dan Facebook di mana, 10 tahun dahulu, tidak dijangka akan wujud aplikasi-aplikasi ini.
"Perkembangan ini mewujudkan satu jurang teknologi dan keperluan kemahiran yang perlu dipenuhi jika kita ingin terus bersaing dengan negara maju dan oleh itu, kolej komuniti berfungsi sebagai institusi pendidikan yang membekalkan kemahiran yang secukupnya kepada rakyat dan komuniti," kata Maszlee
#B40
#Belia
#Dr Maszlee Malik
#ibu tunggal
#Kementerian Pendidikan
#kolej komuniti
#Pembelajaran Islam Sepanjang Hayat
#pembelajaran sepanjang hayat
#PSH
#TVET