PRU15: Wahai pemimpin, bila nak bela nasib kami - Nelayan
Shuhada Abdul Kadir
Oktober 24, 2022 18:50 MYT
Oktober 24, 2022 18:50 MYT
TANGGA BATU: Kerja-kerja penambakan laut di perairan Melaka sehingga menjejaskan sumber mata pencarian golongan nelayan pantai rentetan hasil tangkapan yang berkurangan, bukan sesuatu yang baharu untuk didengari.
Meskipun pelbagai janji untuk memberi nafas baharu kepada isu berkenaan menerusi beberapa siri pilihan raya sebelum ini sudah dilakukan, namun semua itu didakwa hanya sebuah retorik politik.
Bukan mahu menolak kepesatan pembangunan, tetapi mereka hanya ingin layanan serta pulangan setimpal seiring dengan proses kemajuan yang dilakukan oleh kerajaan dan tidak hanya ‘didatangi’ apabila tiba musim mengundi.
Malahan, golongan itu secara terang-terangan mengakui sudah muak untuk meluah rasa kepada sesiapa mahupun merayu wakil rakyat atau pihak berkuasa untuk membela nasib mereka.
Md Jali Ibrahim, 69, yang sudah 40 tahun menyara kehidupan keluarga dengan mencari hasil laut berkata, sebagai anak jati negeri Melaka dia mahu negeri ini terus berkembang seperti negara maju lain dan tidak pernah terlintas untuk membantah apa jua bentuk pembangunan.
Bagaimanapun katanya, isu penambakan laut dan kesesakan kapal di perairan Melaka jelas turut melibatkan kehidupan nelayan kerana lautan itu merupakan tempat mereka mencari rezeki.
Bukan sahaja hasil tangkapan berkurangan, jaring dan pukat juga seringkali rosak dek tersangkut pada kapal korek pasir sehinggakan adakala mereka terfikir untuk bersara.
Katanya, lebih mengecewakan apabila janji yang ditabur seperti memperjuangkan pampasan rentetan sumber pendapatan yang terjejas lebih 50 peratus sejak lebih 10 tahun lalu tidak berjaya diselesaikan sehingga ke detik ini.
“Sebenarnya, kalau kerajaan nak bina istana emas sekali pun dalam laut saya sebagai anak jati Melaka tidak akan marah, sebaliknya berbangga kerana Melaka akan ada istana emas.
“Tetapi contoh tambakan pasir ini nelayan pun terlibat sama kerana ini tempat kita mencari rezeki dan pihak yang berkaitan bayar la yang sepatutnya (pampasan) atau buatkan jeti dahulu, tentu rakyat tak akan bising.
“Ini apabila tambak pasir macam ini, yang untung kerajaan, kontraktor juga untung tetapi kenapa nelayan kena rugi. Tidak sepatutnya nelayan rugi yang mana setidak-tidaknya berilah sedikit pampasan bantu kumpulan kami,” katanya ketika ditemui di Jeti Pengkalan Sungai Lereh, di sini.
Bagi Zahnudin Alwi, 52, dia turut mengakui bingung mengapa suara dan keluhan kumpulan nelayan kepada pihak berkaitan seringkali dipandang sepi.
Katanya, dia tidak menolak ada kala ada pemimpin tempatan dan pihak berkaitan tampil cuba membantu mereka, namun ianya hanya sekali dua selain tidak menemui titik noktah.
“Sampai sekarang bab pampasan kita rasa tidak berbaloi dengan apa yang terjadi pada nelayan di Melaka sedangkan tempat lain semua cukup kami tengok. Contohnya macam di Pulau Pinang tak silap saya kerajaan bagi RM75,000, maknanya pemimpin mereka ambil berat tentang nelayan.
“Kadang-kadang tu apabila bertukar sahaja kerajaan semuanya automatik jadi bercelaru dan jalan penyelesaian akhirnya tidak ditemui,”katanya.
Bagi Ketua nelayan Pengkalan Sungai Lereh, Kamarudin Karim, mereka tidak lagi mahu pemimpin yang hanya tunjuk muka apabila tiba musim pilihan raya.
Sebaliknya, mereka mahukan calon di kerusi Parlimen yang prihatin dan boleh menyelesaikan bebanan yang ditanggung semua nelayan sejak lebih 10 tahun lalu.
“Ada pampasan yang dijanjikan dari dahulu tetapi tidak sampai dan cuma sagu hati sahaja yang diberi dan itu ibarat gula-gula untuk memujuk nelayan. Selalunya semua ini berlaku waktu nak pilihan raya macam ini lah, barulah nelayan didatangi pelbagai pihak.
“Jadi harapan besar kami nelayan ini cuma mahu hak kami seperti pampasan diberikan kepada kami yang sepatutnya dan calon Parlimen tangga Batu yang kami harapkan nanti juga calon yang prihatin dan bukan hanya sekadar melepas batuk di tangga,”katanya.
Tambah beliau, seperti sebelum-sebelum ini, mereka tidak lagi mahu pemimpin yang hanya cuba ‘buka mata’ apabila tempoh pilihan raya dan apabila berjaya memegang jawatan, nasib mereka tetap tidak terbela.