PRU15: Undi18 harap Pelan Antirasuah Nasional dilaksanakan

Rahimah Abdullah
April 25, 2022 13:19 MYT
Pengasas Bersama Undi18, Tharma Pillai berkata, langkah itu akan memastikan SPRM dan SPR melakukan penguatkuasaan lebih baik terhadap isu permainan politik wang semasa pilihan raya. - Gambar fail/Tharma Pillai
KUALA LUMPUR : Pelan Antirasuah Nasional (NACP) perlu dilaksanakan bagi membanteras gejala rasuah menjelang Pilihan Raya Umum ke-15.
Pengasas Bersama Undi18, Tharma Pillai berkata, langkah itu akan memastikan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) melakukan penguatkuasaan lebih baik terhadap isu permainan politik wang semasa pilihan raya.
"Kita perlu melaksanakan teras tertentu antirasuah, amalan, pembaharuan dan undang-undang. Ini termasuk pelan NACP untuk mewujudkan akta pembiayaan politik bagi memastikan penguatkuasaan yang lebih baik oleh SPR, SPRM dari segi permainan wang yang adil semasa pilihan raya. Saya rasa elemen ini sangat penting," katanya semasa diskusi secara maya "Reclaim the Nation : People First, Democracy Now" pada Isnin.
NACP dilancarkan pada tahun 2019 dan mengandungi 115 inisiatif di bawah enam bidang utama, iaitu tadbir urus politik, pentadbiran sektor awam, perolehan awam, perundangan dan kehakiman, penguatkuasaan undang-undang dan tadbir urus korporat dirangka sebagai panduan kepada semua sektor dalam melaksanakan usaha mengatasi rasuah.
Tharma berkata, ketika ini masih ramai termasuk orang muda yang tidak memahami istilah rasuah termasuk pembiayaan politik yang menjadi isu kompleks pada ketika ini.
"Itu sebabnya kita boleh nampak ada ahli politik yang melakukan kelakuan yang tidak beretika, namun kita tidak boleh mendakwa mereka kerana kita tidak mempunyai bahasa undang-undang dan perlindungan undang-undang untuk mengatakan ia adalah pelakuan jenayah," ujarnya.
Justeru katanya, Undi18 akan terus memperjuangkan usaha melahirkan generasi anak muda yang antirasuah dengan memberi kefahaman sebenar kepada rasuah.
Masyarakat juga, ujar beliau, perlu berganding bahu memperjuangkan agenda rakyat dengan membanteras ekosistem rasuah di negara ini.
#Rasuah #Undi18 #Suruhanjaya Pilihan Raya #Tharma Pillai
;