PRU15: UMNO perlu beri sokongan kepada PM sehingga Julai 2023 - Penganalisis
Faris Danial Razi
Ogos 22, 2022 20:48 MYT
Ogos 22, 2022 20:48 MYT
KUALA LUMPUR: UMNO seharusnya meneruskan sokongan terhadap kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang enggan mencampuri urusan kehakiman, terutama membabitkan kes berprofil tinggi.
Dalam erti kata lain, kata Penganalisis Politik dari Sunway University, Prof Wong Chin Huat, mandat kerajaan harus diteruskan sehingga Julai 2023 bagi membolehkan reformasi dilaksanakan serta menjamin kestabilan negara jika berlaku lagi parlimen tergantung kelak.
“Pengundi akan menghukum UMNO pada PRU15 (Pilihan Raya Umum Ke-15), jika mereka tidak mahu memilih Pakatan Harapan, pengundi Melayu (khususnya) mungkin akan memberi sokongan kepada Perikatan Nasional.
“Jadi untuk bukan sahaja untuk kepentingan negara, tetapi juga kepentingan parti, UMNO seharusnya menyokong Datuk Seri Ismail Sabri untuk terus angkat sikap tidak campur tangan dalam proses keadailan.
“Sekali gus mendukung pengasingan kuasa dan seterusnya meneruskan reformasi-reformasi institusi dalam tempoh 11 bulan yang akan datang sampai akhirnya 15 Julai 2023,” ujarnya ketika ditemu bual Astro AWANI pada Isnin.
Sementara itu, Chin Huat menegaskan, UMNO juga perlu berani memerangi rasuah dan bukannya institusi kehakiman atau mana-mana pihak lain sekiranya ingin mendominasi bilangan kerusi pada PRU15.
“UMNO kalau ingin menang sekurang-kurangnya bilangan kerusi terbanyak dalam PRU15, mestilah berani menyerang rasuah dan bukannya menyerang institusi kehakiman atau Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara di Parlimen ataupun pembangkang.
“Jangan serang pihak yang salah, seranglah rasuah kerana kalau UMNO itu parti nasionalis maka UMNO mesti bermusuh (dengan) pengkhianatan.
“Tiada pengkhianatan yang lebih besar apabila dana awam yang seharusnya digunakan untuk mempertingkatkan pertahanan kita akhirnya dimasukkan ke dalam poket peribadi dan keselamatan negara tergadai,” ujarnya lagi.
Sementara itu, beliau mencadangkan pembubaran Parlimen pada masa akan datang hanya dilakukan apabila penggal tamat iaitu selepas lima tahun, supaya PRU mempunyai tarikh tetap.
Chin Huat berpendapat, selain memberi tarikh PRU yang lebih terjangka, Parlimen berpenggal tetap ini dilihat mampu memberi prospek lebih meyakinkan kepada pelabur asing, untuk melabur ke dalam negara.