PRU15: Tular gambar kertas undi, anak muda langgar peraturan demi 'content'?
Astro Awani
November 19, 2022 17:02 MYT
November 19, 2022 17:02 MYT
KUALA LUMPUR: Seperti yang dijangka, media sosial hari ini meriah dengan pelbagai kemas kini status berkaitan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
Golongan muda, terutama yang baru kali pertama mendapat pengalaman menjadi pengundi, begitu teruja memuat naik gambar dan video jari mereka yang bercelup dakwat biru.
Namun, apa yang dikesalkan ialah apabila ada juga yang tidak bertanggungjawab, dengan mengambil gambar kertas undi dan memuat naiknya ke laman sosial.
Agak pelik juga kerana Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) telah mengeluarkan larangan membawa telefon bimbit ke dalam bilik mengundi, tetapi nampaknya masih ramai yang 'terlepas'.
Beberapa tangkap layar pengguna media sosial turut meluahkan rasa kesal apabila ada yang menjadikan penyertaan dalam PRU15 sebagai bahan content semata-mata, sehingga sanggup membelakangkan undang-undang.
Mungkin ada yang masih tidak jelas, mana-mana individu atau pihak yang didapati melakukan kesalahan ini boleh dikenakan tindakan di bawah Seksyen 3, Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 (Akta 5).
Jika disabitkan, seseorang individu itu boleh dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi dua tahun atau didenda tidak melebihi RM5,000 atau dipenjarakan dan didenda kedua-duanya sekali.