PRU15: Tuduhan tentera undi awal, Anwar keterlaluan - Hishammuddin
Bernama
November 11, 2022 00:28 MYT
November 11, 2022 00:28 MYT
KLUANG: Dakwaan Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Datuk Seri Anwar Ibrahim kononnya ada anggota tentera di Bera, Pahang, sudah mengundi awal untuk Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) dan dibayar untuk berbuat demikian, disifatkan sebagai keterlaluan.
Menyelar kenyataan Presiden PKR itu, Menteri Kanan Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata tindakan Anwar itu juga, dilihat sebagai usaha untuk menidakkan integriti dan maruah Angkatan Tentera Malaysia (ATM), menerusi kepentingan politik yang sempit.
"Saya lihat tindakan Anwar ini mengheret ATM dalam permainan politiknya itu, bukan sahaja membuat pasukan keselamatan kita marah tetapi orang ramai juga berpendapat bahawa perlu ada had dan batasan dalam berpolitik," kata Bendahari Agung Barisan Nasional (BN) itu kepada pemberita selepas menghadiri Program Jom Santai bersama orang muda Sembrong di Ngepot Kabin, di sini, malam ini.
Program Jom Santai bersama orang muda Sembrong itu juga, dimeriahkan lagi dengan kehadiran penyanyi popular Hanifah Md Hanafiah atau lebih dikenali sebagai Black dan pelawak terkenal Mohd Nasir Hamzah (Achey Bocey) yang turut menghiburkan tetamu yang hadir.
Hishammuddin berkata demikian ketika mengulas mengenai dakwaan penyandang Parlimen Port Dickson itu, semasa ceramah Pakatan Harapan di Kuala Terengganu semalam, kononnya terdapat kem tentera di Bera, yang melaksanakan undian awal hari ini, selain dikatakan dibayar RM300.
Terdahulu, Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob meminta Anwar menarik balik tuduhan tersebut dan memohon maaf kepada anggota ATM, kerana menuduh mereka menerima wang dan sebagainya.
Bagaimanapun, Ismail Sabri berkata beliau tidak menolak kemungkinan apa yang didakwa sebagai undi awal itu adalah undi pos kepada anggota pasukan keselamatan, yang boleh memohon untuk mengundi secara pos, jika mereka tidak dapat hadir semasa hari mengundi awal kerana bertugas.
-- BERNAMA