PRU15: Tindakan tegas individu cetus provokasi di Parlimen Padang Serai - Polis
Adie Sufian Zulkefli
November 25, 2022 11:00 MYT
November 25, 2022 11:00 MYT
KULIM: Seramai 500 pegawai dan anggota polis Kedah ditugaskan bagi mengawal keadaan sepanjang tempoh proses pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) Parlimen Padang Serai.
Ketua Polis Kedah Datuk Wan Hassan Wan Ahmad berkata, jumlah itu turut membabitkan unit Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) yang akan berkawal termasuk pada hari undi awal 3 Dis.
Menurutnya, jumlah anggota akan ditambah pada hari pengundian 7 Dis, yang akan ditempatkan di pusat-pusat mengundi.
"Kita akan tempatkan tiga kumpulan FRU di sini untuk buat kawalan keselamatan bersama juga dengan anggota lain untuk memantau ceramah dan sebagainya.
"(Ia termasuk) Pasukan Cantas daripada IPK (Ibu Pejabat Polis Kontinjen), polis bantuan dan lain-lain. Dan untuk hari mengundi, kita jangkakan dalam lingkungan 1,200 orang semua sekali.
"Kerana, di sini salurannya besar dan pengundinya agak ramai dengan kapasiti kaum terbesar iaitu India, Melayu dan Cina, melibatkan kira-kira 133,000 orang.
"Jadi, kita telah minta supaya di sini kita dapatkan manpower," katanya kepada media ketika ditemui selepas meninjau anggota bertugas sempena PRU15 Parlimen Padang Serai, di Kompleks Sukan Kulim Hi-Tech, di sini, hari ini.
Sementara itu, Wan Hassan menasihatkan orang ramai dan parti-parti politik yang bertanding untuk mematuhi arahan, peraturan dan larangan semasa tempoh berkempen dan memahami sensitiviti setempat serta mengelakkan provokasi.
Katanya, sekiranya calon atau penceramah yang berkempen didapati melakukan kesalahan, mereka berdepan tindakan di bawah Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 (Akta 5).
Ia termasuk kesalahan pemalsuan nama atau kertas undi dan mengembangkan perasaan jahat atau permusuhan, di bawah Seksyen 3, 4 dan 5 Akta Kesalahan Pilihan Raya.
"Kita ada juga Pasukan Cantas daripada IPK dan juga bantuan daripada Bukit Aman. Dan juga pasukan perakam yang terlibat membuat rakaman tertentu.
"Tindakan kita agak tegas dan kita memberi amaran kepada mana-mana pihak tertentu yang terlibat dalam proses demokrasi ini, parti dan sebagainya, supaya mengawal penceramah-penceramah.
"Ia supaya tidak ada yang membuat ceramah-ceramah yang boleh mendatangkan kegusaran atau pun ketidakpuasan hati mana-mana pihak yang lain.
"Kita hendak proses pilihan raya ini berjalan dalam keadaan aman, tenteram, damai, tidak ada elemen kutuk-mengutuk, keji-mengeji satu sama lain, kerana itu tentunya boleh membawa kepada masalah-masalah lain," tambahnya.
PRU15 Parlimen Padang Serai ditangguhkan pengundiannya sebelum ini berikutan kematian calon Pakatan Harapan (PH), M Karupaiya, 69 tahun, pada 16 Nov lalu.
Pada PRU14, Karupaiya menang kerusi Parlimen itu dengan majoriti 8,813 undi, menewaskan calon Pas Muhamad Sobri Osman dan calon Barisan Nasional Datuk Dr Leong Yong Kong.
Pada kali ini, Parlimen Padang Serai menyaksikan pertembungan enam penjuru melibatkan calon PH Dr Mohamad Sofee Razak, Datuk C Sivaraajh (Barisan Nasional), Datuk Azman Nasrudin (Perikatan Nasional), Hamzah Abd Rahman (Pejuang), Mohd Bakhri Hashim (Warisan) dan Sreanandha Rao (Bebas).