PRU15: Sudah sampai masanya kemudahan asas Pantai Teluk Kemang dinaik taraf - Peniaga
Raja Hisyam Raja Zaid
Oktober 28, 2022 12:30 MYT
Oktober 28, 2022 12:30 MYT
PORT DICKSON: Pantai Teluk Kemang yang terletak di daerah Port Dickson merupakan pusat peranginan tidak perlu diperkenalkan dan sentiasa menjadi tumpuan orang ramai saban waktu.
Masih lagi memiliki daya tarikan tersendiri dengan keindahan pantai yang dimiliki, lokasi ini turut menjadi sumber rezeki buat peniaga-peniaga di sepanjang pesisirnya sejak sekian lama.
Jumlah pengunjung pantai tersebut juga menjadi faktor penentu jatuh bangun kepada pelbagai jenis perniagaan yang dijalankan.
Justeru, selain keindahan pantai perlu sentiasa terjaga, kemudahan fasiliti yang terdapat di kawasan sekitarnya juga merupakan faktor yang menyumbang kepada kehadiran pelancong.
Bagi sebahagian peniaga yang ditemui, sudah sampai masanya kemudahan fasiliti yang memudahkan urusan pengunjung dan juga peniaga di situ dinaik taraf untuk keselesaan mereka.
Menurut salah seorang peniaga Mohd Daneal Syahrul Nizam,18 yang telah menjalankan perniagaan pakaian dan makanan bersama kakaknya Norsyazlyana Syahrul Nizam, 21, kemudahan tandas yang kurang selesa dan ruang lot parkir perlu diberikan perhatian.
“Saya harap dia orang (kerajaan tempatan) buatlah satu lagi tandas sebab kat sini masalah dengan tandas yang sedia ada. Sebab pengunjung biasanya kalau datang mesti selalu merungut air kat tandas tak ada. Memang kat sini itulah masalah utama,” katanya kepada Astro AWANI.
Pengunjung yang ditemui juga mengakui hakikat itu tentang keperluan menaik taraf keadaan tandas yang menjadi keperluan asas pengunjungnya.
“Agak kotor sikitlah walaupun boleh dipakai tapi kena bersihkan. Pam tandas pun rosak dan getah paip pendek yang buat kita susah sikitlah guna,” kata Krishnan Manoharan yang berkunjung bersama keluarga di pantai berkenaan.
Bagi Mohd Mahadi Atan, 40, pula yang menjalankan perniagaan cendera hati di kawasan itu, jumlah pengunjung yang datang ke sini selepas fasa endemik menunjukkan penigkatan yang memberasangkan.
Dia bersyukur kerana masih lagi mampu berniaga dalam keadaan suasana seperti sedia kala berbanding ketika peringkat awal pandemik COVID-19 melanda.
Keadaan ketika ini katanya mungkin boleh menggamit lebih ramai pengunjung sekiranya pihak berkuasa tempatan mampu menaik taraf kemudahan yang ada selain menambah keperluan yang menjadi keutamaan pengunjung.
“Sudah sampai masanya saya rasa ditambah baik. Contohnya adakan ruang (riadah) yang lebih luas. Kadang-kadang pengunjung yang datang secara berkumpulan adakan aktiviti sukaneka, jadi mereka ni kadang-kadang perlukan ruang yang cukup.
“Selain itu kemudahan seperti mesin ATM juga diperlukan kerana mereka agak sukar mendapatkanya dekat kawasan sini,” katanya lagi.
Pantai Teluk Kemang merupakan antara kawasan pelancongan utama yang terdapat di Port Dickson yang menjadi kerusi hangat diperdebatkan menjelang Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
Parlimen Port Dickson dimenangi Presiden PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim Pilihan Raya Kecil (PRK) dengan 23,560 undi pada 2018.
Bagaimanapun beliau tidak akan mempertahankan kerusi tersebut pada PRU15 selepas memutuskan untuk bertanding di Parlimen Tambun.