PRU15: Semua parti politik perlu terima keputusan rakyat Sabtu ini - PM
Fareez Azman
November 18, 2022 14:38 MYT
November 18, 2022 14:38 MYT
BERA: Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menggesa semua parti yang bertanding dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) agar menerima keputusan rakyat pada Sabtu ini.
Ujarnya, setiap calon dan parti perlu menunjukkan semangat yang tinggi dan tidak menimbulkan sebarang kekecohan sekiranya kalah.
"Saya juga berharap supaya malam esok (Sabtu), apabila menerima keputusan (PRU15), saya harap semua kita boleh terima keputusan dengan semangat yang tinggi dan tanpa menimbulkan kekecohan di mana-mana sekali pun.
"Kita terima keputusan pilihan rakyat dengan hati terbuka menang atau kalah adat pertandingan yang pentingnya kempen hanya dua minggu, esok atau lusa kita kembali hidup seperti normal bermasyarakat seperti biasa," katanya.
Tambah Ismail Sabri, ketika kempen PRU15 sudah hampir ke penghujungnya, beliau bersyukur tiada insiden yang tidak diingini berlaku di seluruh negara.
"Tidak ada provokasi yang besar (berlaku) dan lebih 21 juta akan mengundi esok pada 19 November termasuk mereka 18 tahun ke atas yang merupakan pengundi baharu.
"Kita dah elok berkempen, tiada provokasi dan sebagainya. Saya harap esok hari pengundian dapat berjalan lancar tanpa provokasi atau insiden-insiden tidak diingini di tempat mengundi seluruh negara," katanya lagi.
Beliau berkata demikian ketika ditemui media dalam program ramah mesra bersama penduduk Felda 32 di sini pada Jumaat.
Ismail Sabri yang juga calon BN Parlimen Bera itu bersaing dengan calon Perikatan Nasional (PN), Datuk Aswani Harun dan calon Pakatan Harapan (PH), Abas Awang.