PRU15: Selepas 10 tahun, mana Jambatan Pulau Bum Bum?

Hasimi Muhamad
November 9, 2022 12:22 MYT
Penduduk akan menggunakan bot penambang dari Jeti Umum Semporna (gambar) untuk ke Jeti Balimbang di Pulau Bum Bum - Foto/Astro AWANI
SEMPORNA: Sudah lebih 10 tahun penduduk Pulau Bum Bum, Semporna mendambakan sebuah jambatan, tetapi sehingga kini kemudahan itu masih tinggal janji.
Jambatan sepanjang 1.4 kilometer (km) yang menghubungkan pulau terbesar di Semporna itu dengan tanah besar belum juga nampak 'bayangnya'.
Apa sudah jadi dengan projek ini?
Pada 28 Februari 2012, peruntukan RM25 juta telah diluluskan oleh kerajaan untuk melaksanakan kerja-kerja pembinaan awal Jambatan Pulau Bum Bum.
Kos pembinaan jambatan itu dianggarkan sebanyak RM430 juta.
Dua tahun selepas itu, Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal menggesa agar kerajaan pusat mempercepat pembinaan jambatan berkenaan.
Sementara pada 2018, Perdana Menteri ketika itu, Datuk Seri Najib Razak turut mengumumkan pembinaan jambatan menghubungkan Pulau Bum Bum dengan tanah besar Semporna.

Sukacita saya umumkan pembinaan jambatan menghubungkan Pulau Bum-Bum dengan tanah besar Semporna, dan projek naiktaraf jalan raya dari Kunak ke Pekan Semporna daripada dua laluan kepada empat laluan. #DahulukanRakyat #HebatkanNegaraku

— Mohd Najib Tun Razak (@NajibRazak) April 9, 2018
An error occurred while retrieving the Tweet. It might have been deleted.
Sedihnya, sehingga kini puluhan ribu penduduk Pulau Bum Bum masih berulang-alik ke tanah besar menggunakan bot.
"Bagi saya memang susah lah sebab, contoh kakak pun kerja juga di pekan. Jadi turun naik (dari Pulau Bum Bum ke tanah besar) kos tambang tidak berbaloi dengan gaji.
"Gaji pun (sekitar) RM1,000 lebih, bila potong-potong (untuk bayaran) tambang ia mencecah ratus," luah seorang penduduk Kampung Nusalalung, Razmah Laja Adil, 42.
Ketika ditemui baru-baru ini, ibu kepada lapan cahaya mata itu sarat membawa barangan keperluan yang dibelinya dari tanah besar.
Suri rumah itu berkata, dia menghabiskan sekitar RM20 untuk tambang pengangkutan setiap kali ke Pekan Semporna.
"Kalau bagi kakak memang berharap lah jambatan dari Jati Balimbang sampai ke Semporna sebab kos (pengangkutan) dapat dikurangkan.
"Contohnya, kalau kalau jambatan sudah menghubungkan dengan pekan, perjalanan kakak hanya satu kali, terus ke pekan (berbeza sekarang perlu naik bot di Jeti Balimbang).
"Macam kalau beli belanja banyak, perlukan perkhidmatan kereta sorong," luah Razmah lagi.
Bagi Ketua Kampung Gelam-Gelam, Mohd Yunus P Madjirin, 54, pembinaan jambatan itu sangat penting bagi memangkin kemajuan ekonomi di Pulau Bum Bum.
Ia sekali gus memberi manfaat besar kepada penduduk di kawasan pulau itu, termasuk sektor pelancongan dan ternakan.
"Bila mana ada jambatan ini, kita akan dapat beberapa sumber termasuk pelancongan dan pelabur akan datang untuk memajukan Pulau Bum Bum.
"Tetapi sampai sekarang mercu tanda Pulau Bum Bum tiada apa-apa pun tetapi kedudukan pemimpin silih berganti.
"Kita sebagai penduduk Pulau Bum Bum amat mengharapkan selepas pilihan raya ini siapa yang sudah kita pilih itu agar dapat menerajui dan memperjuangkan hak penduduk di sini," katanya.
Pembinaan Jambatan Pulau Bum Bum ditentang?
Begitupun, di sebalik keinginan penduduk yang dahagakan kemajuan menerusi pembinaan Jambatan Pulau Bum Bum, ada juga suara yang tidak bersetuju dengan pembinaan jambatan berkenaan.
Penduduk Kampung Balimbang, Muhuddin Tangiling, 61, mendakwa pembinaan jambatan itu kelak tidak memberikan manfaat secara menyeluruh kepada semua penduduk.
Penduduk ujarnya, berdepan kekangan jika jambatan itu bukan dibina bermula dari Kampung Balimbang.
"Itu tentang majoritinya (pembinaan jambatan) tidak wujud, kalau cakap begitu. Kemungkinan keistimewaannya adalah kepada cikgu-cikgu sahaja, yang macam orang-orang kampung ini banyak penderitaan kalau ada jambatan.
"Lagi selesa naik bot sebab sekiranya jambatan itu buat dari sebelah sana (tanah besar) mungkin orang susah, tidak semestinya majoriti ikut ke sana, dan kebanyakannya di sini ini juga," katanya.
Muhuddin turut mendakwa, penduduk dimomokkan dengan pengambilan tanah di kawasan kampung sekiranya jambatan itu siap.
"Sebab kalau jambatan itu ada, YB (wakil rakyat) dan pegawai daerah cakap, kampung ini kalau ada jambatan kamu punya tanah-tanah kena jual pergi China sebab ada kemajuan (daripada pembinaan jambatan).
"Tanah kamu dijual kepada China dan akhirnya penduduk di sini melarat," ujarnya.
Dalam pada itu, Astro AWANI turut mendapatkan respons daripada Mohd Shafie, yang juga penyandang kerusi Parlimen Semporna berhubung pembinaan Jambatan Pulau Bum Bum.
Presiden Warisan (Warisan) itu yakin sekiranya tidak berlaku perubahan kerajaan, janji yang diberikan kepada rakyat di kawasan Parlimen itu dapat ditunaikan.
"Masa saya jadi menteri di Persekutuan, Pak Lah (Tun Abdullah Ahmad Badawi) mengumumkan belanjawan di peringkat pusat, tetapi malangnya tidak dilaksanakan.
"Begitu juga masa kita jadi kerajaan tetapi 22 bulan, lepas itu kerajaan berubah. Saya yakin sekiranya kita melangsungkan (pentadbiran kerajaan negeri) sehingga lima tahun, kita berupaya melaksanakan apa yang kita janjikan," kata bekas Ketua Menteri Sabah itu.
VIDEO: Rezeki penolak kereta sorong di Pulau Bum-Bum
#Jambatan Pulau Bum Bum #Tempat menarik di Semporna #PRU15 #Shafie Apdal
;