PRU15: Sampai bila kena hadap pencemaran kandang babi, penduduk Tanjung Sepat tuntut janji

Rahimah Abdullah
Oktober 29, 2022 09:31 MYT
Sudah lebih 30 tahun penduduk kampung di Tanjung Sepat menanggung derita dengan bau busuk dan pencemaran air, kerana saliran itu sudah masuk ke laut. Gambar Astro AWANI
SEPANG: Kerajaan, wakil rakyat bersilih ganti. Namun, isu pencemaran disebabkan saliran kandang babi di Sepang tidak juga selesai.
Sudah lebih 30 tahun penduduk kampung di Tanjung Sepat menanggung derita dengan bau busuk dan pencemaran air, kerana saliran itu sudah masuk ke laut.
Apabila kaki melangkah masuk sahaja ke kampung itu, tidak dapat dinafikan, bau busuk yang sangat meloyakan sehingga terpaksa tutup hidung.
Lebih-lebih lagi apabila berada dekat dengan air saliran dari ratusan kandang babi yang diusahakan sejak berpuluh tahun lamanya.
Itu baru seharian Astro AWANI berada di situ, bayangkan penduduk yang sudah puluhan tahun terpaksa berdepan masalah berkenaan.
Isu ini pernah dibangkitkan sebelum ini, namun pihak berwajib tidak juga memberi solusi terbaik kepada penduduk.
Seorang penduduk Kampung Tanjung Sepat, Azli Aliman, mendedahkan, pihak berwajib sebelum ini berkata mahu mengalihkan kandang babi berkenaan ke tempat lain, namun janji hanya tinggal janji.
"Kalau boleh pindahlah kandang babi ke tempat penternakan yang sesuai sebab dekat dengan kampung. Dulu kata nak pindah tetapi sekarang tidak ada perubahan," katanya kepada Astro AWANI.
Setakat ini, katanya, tiada tindakan terbaharu dilakukan pihak berwajib terhadap isu pencemaran kandang babi di kampung mereka.
"Kami bimbang sebab ia dekat dengan kampung, pantai dekat-dekat kampung kami juga kami sudah tidak pergi, sebab tahu pantai itu sudah dicemari dengan saliran kandang babi itu," tambahnya.
Bagi seorang lagi penduduk yang dikenali sebagai Bistari, dia dan keluarga tidak tahan lagi dengan bau busuk dari saliran kandang babi yang tidak diuruskan dengan baik itu.
"Memang tidak selesa betul. Paling teruk, kalau musim hujan. Bau dia memang sangat busuk lebih-lebih lagi kalau dibawa angin. Meloyakan," ujarnya.
Malah, kawasan pantai di Tanjung Sepat yang sepatutnya jadi daya tarikan pelancong, kini hilang seri apabila orang luar yang datang mula tutup hidung dek tidak tahan bau busuk yang menusuk hidung.
Pemandangan pantainya juga sudah tidak seindah dulu.
"Di kawasan ini ada tiga pantai yang cantik. Pantai Batu Laut sangat cantik. Di pekan Tanjung Sepat, ada pantai juga cantik. Namun, di kawasan kampung Tanjung Sepat ini, pantainya sangat menghampakan."
Katanya lagi, pihak berwajib langsung tidak pernah datang berbincang dengan penduduk susulan masalah itu.
"Sudah tiba masanya kandang babi ini dialihkan keluar dari kawasan ini," tegasnya.
Pada 8 Oktober lalu, Pengerusi Jawatankuasa Tetap Pelancongan, Alam Sekitar, Teknologi Hijau dan Hal Ehwal Orang Asli negeri, Hee Loy Sian berkata,
sebuah lokasi ternakan babi yang diusahakan lapan premis di atas tanah persendirian berstatus pertanian dikenal pasti punca pelepasan air kotor dan berbau ke pantai Tanjung Sepat.
Namun, penduduk mendakwa, setakat hari ini, saliran yang kotor dan busuk itu masih mengalir ke laut dan tiada usaha pemulihan dilakukan dengan berkesan.
Justeru, kepada wakil rakyat Sepang yang akan dipilih pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), penduduk mahu isu pencemaran diatasi dengan segera kerana political will dilihat mampu menggerakan sebarang tindakan segera.
#tanjung sepat #PRU15 #pencemaran kandang babi #Sepang
;