LUMUT: Dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14), hanya 400 undi memisahkan Datuk Dr Mohd Hatta Ramli dan Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir bagi perebutan kerusi Parlimen Lumut.

Seramai 67,157 pengundi menunaikan tanggungjawab mereka pada 2018 dengan 21,955 pengundi memilih Mohd Hatta manakala 21,555 undi memihak kepada Zambry.

Empat tahun berlalu, dua Setiausaha Agung parti masing-masing itu akan berentap sekali lagi dalam gelanggang sama, cuma suasana, lawan dan pola pengundian dilihat ada bezanya.

Keputusan pada 2018 di Parlimen Lumut sebenarnya mengejutkan ramai pihak kerana Zambry pada waktu itu bertanding di sana atas kapasiti sebagai Menteri Besar Perak.

Ramai menjangkakan beliau akan menang, apatah lagi lawan beliau pada waktu itu adalah Mohd Hatta yang pertama kali bertanding di kawasan tersebut.

Berentap sekali lagi dalam PRU15, Zambry menganggap dirinya sebagai ‘underdog’ dan akan terus mengambil pendekatan tiada maki-hamun, serangan atau fitnah kepada lawan dalam setiap kempennya.

“Dr Hatta pun tahu cara saya malah kita ambil pendekatan... saya ambil kedudukan saya, saya tahu saya sebagai ‘underdog’. Dia menang, saya tak menang dulu (pada 2018).

“Jadi secara faktanya, saya adalah ‘underdog’. Jadi saya datang, tidaklah ambil pendekatan yang nak tunjukkan saya berkeyakinan tinggi.

“Saya ambil pendekatan macam biasa, berjalan seperti biasa. Saya berjalan ke kampung-kampung, bertemu dengan rakyat kerana saya sudah biasa dengan rakyat,” katanya kepada Astro AWANI.

Dalam pada itu, penyandang kerusi tersebut, Mohd Hatta pula menegaskan, meskipun beliau menang dalam pilihan raya yang lepas, namun, tidak sedikit pun beliau memandang ringan saingan dalam PRU15.

Melabel Zambry sebagai tokoh, beliau mengharapkan pertandingan di kawasan itu tidak akan menjejaskan persahabatannya dengan Zambry yang sudah terjalin sekian lama.

“Dia adalah tokoh, pimpinan Barisan Nasional, Setiausaha Agung, jangan main-main. Tapi kita mengharapkan pertandingan itu akan berjalan dengan aman, secara adil, terbuka dan kita tidak akan menjejaskan apa-apa juga perhubungan baik yang wujud bersama.

“Ini pertandingan yang mempunyai nilai tinggi tapi persahabatan lama tidak boleh terungkai hanya kerana kita bertanding dalam pilihan raya,” ujarnya.

Begitupun, di sebalik dua nama besar yang dijangka mendominasi undi di kerusi Parlimen Lumut, calon Pejuang, Mazlan Abdul Ghani memasang impian melakukan kejutan di kawasan itu.

Berbekalkan keyakinan bahawa nama-nama besar itu tergugat dengan kehendak rakyat membuatkannya terus berani melangkah berdepan dua calon tersebut.

“Memang saingan saya bukan calang-calang. Saya tahu Datuk Seri Zambry Kadir, beliau mantan Menteri besar Perak dan juga Datuk Dr Hatta, juga mantan timbalan menteri.

“Kedatangan saya muka baharu ini, memang saya ingin mencabar kedudukan beliau dan saya memasang impian untuk mendapat kemenangan di Lumut ini.

“Saya yakin rakyat Lumut percaya kepada Pejuang atas apa yang kami bawa dan Insyaallah saya dapat memberi saingan kepada nama-nama besar ini,” kataya ketika ditemui Astro AWANI.


Mazlan Abdul Ghani

Kerusi Parlimen Lumut menyaksikan pertembungan lima penjuru dengan Komander (Bersara) Nordin Ahmad Ismail dari Perikatan Nasional dan Mohd Isnin Ismail @ Ibrahim Khan dari Warisan turut sama bertanding di sana.