PRU15: Rakyat mahu masalah banjir diatasi, calon beri tawaran

Astro Awani
November 8, 2022 09:20 MYT
Keadaan banjir yang melanda kawasan Kimanis baru-baru ini. Foto Facebook/SABAHfm Bagus Bah
KIMANIS: Sistem perparitan yang tidak diselenggara antara punca utama banjir kerap melanda kawasan sekitar Kampung Baru di Kimanis.
Penduduk bukan hanya risau akan keselamatan ahli keluarga, bencana banjir kilat itu juga dilihat merosakkan banyak harta benda.
Harapan penduduk di sekitar Kampung Baru ini adalah diselesaikan permasalahan yang sekian lama menghantui mereka.
Bagi Rosmin Rusli, penduduk di Kampung Baru, Kimanis berharap agar parit di sekitar kawasan kampung mereka dibersihkan supaya dapat membantu mengurangkan sedikit masalah yang mereka tanggung.
"Banyak kawasan-kawasan yang tidak dikorek, yang tidak dibersihkan paritnya. Ada pun projek yang dibuat hanya separuh jalan, tidak merangkumi keseluruhan.
"Sepatutnya kalau mereka nak mengatasi masalah ini, mereka mengatasi segalanya. Maknanya mereka kena cari punca, di mana yang perlu dikorek dan sebagainya supaya masalah ini walaupun tidak dapat diatasi sepenuhnya, sekurang-kurangnya dapat mengurangkan sedikit masalah yang ditanggung oleh rakyat di sini," katanya.
Jamani Amat Awang juga memohon agar pihak berwajib membina parit semen bagi memudahkan penduduk kampung sendiri untuk membuat pembersihan parit tanpa menggunakan jentera.
"Kami, selaku rakyat di Kampung Baru ini, mengharap siapa saja kerajaan yang memerintah di satu masa, kami perlukan macam perparitan dahulu.
"Ada yang bercakap, orang-orang kampung sini, daripada kerajaan membuang duit satu kali panggil jentera untuk menyelanggara, berpuluh-puluh ribu, sampai RM800,000, alangkah baiknya, cadangan kami dibikin semen, parit semen.
"Jadi sekiranya pun kalau dia semak pun, kita tidak guna jentera, kita gunakan orang sahaja untuk membersihkan parit itu," ujarnya.
Harapan sama disuarakan Junaidi Shari, agar sistem perparitan itu diselenggara sebaik-baiknya supaya masalah banjir tidak lagi dihadapi mereka.
"Harapan kami penduduk Kimanis, terutmanya itulah yang kami harap sangat, sistem perparitan kalau boleh pihak kerajaan yang seterusnya, yang akan memimpin kami di Kimanis ini, mintalah sangat-sangat untuk diselenggaralah baik-baik parit itu.
"Soal hujan itu, di mana-mana pun hujan kan, lebat mana pun kita kena hadap juga, cuma kalau perparitan sampai sekarang begini juga memang tidak akan ke mana, kena hadaplah banjir itu kalau perparitan ini tidak diselesai," katanya.
Antara tawaran penyelesaian dari calon yang bertanding pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) di Parlimen itu, Daud Yusof mewakili parti Warisan berpendapat, selain membersihkan parit, sungai sekitar Kimanis juga turut dibersihkan dan didalamkan.
"Kalau kita lihat pelan pembangunan yang saya buat ni, yang pertma yang ingin saya usahkan ini sungai-sungai kita.
"Sungai-sungai ini bukan sahaja Sungai Kimanis, Sungai Bongawan, Sungai Mendahan ini, mungkin lebih 100 tahun, 200 tahun kewujudan sungai ini dan tidak pernah dibersihkan, tidak pernah didalamkan.
"Ini juga sekarang menyebabkan banjr kilat berlaku dan juga disebabkan oleh jalan yang sekarang ini Pan Borneo ini, kerana banyak parit-parit yang tidak diselenggarkan," jelasnya.
Manakala, bagi Rowindy Lawrence Odong yang mewakili Parti Pakatan Harapan (PH), beliau menggunakan pendekatan secara terus bersama dengan pakar berkaitan masalah tersebut dan juga berbincang secara teliti bersama pemimpin di peringkat kampung.
"Memang dalam perancangan saya, dalam lima tahun pelan pembangunan di kawasan ini ada untuk membincangkan tentang masalah di setiap kampung.
"Oleh itu, jika saya diberi peluang untuk jadi wakil rakyat di kawasan ini, saya akan cari mereka yang profesional dan juga mereka yang seperti Ketua Kampung dan JKK, kita akan membuat satu mesyuarat dan kita akan membincangkan bersama-sama apa yang boleh dilakukan secara bersama," katanya.
#sistem perparitan #banjir #PRU15 #Malaysia Memilih
;