PRU15: Rakyat Kinabatangan mahu usaha tingkat kualiti hidup diberi keutamaan
Bernama
November 13, 2022 08:00 MYT
November 13, 2022 08:00 MYT
KINABATANGAN: Kinabatangan, daerah terletak di timur Sabah, lebih kurang 329 kilometer dari Kota Kinabalu, sememangnya kaya dengan keunikan dan keistimewaan tersendiri terutama dalam aspek ekopelancongan yang menyajikan keindahan panorama alam semula jadi.
Berkeluasan 7,542 kilometer persegi, daerah ini juga merupakan pintu masuk pelancong domestik dan antarabangsa yang ingin melihat sendiri hidupan liar seperti gajah Borneo, monyet proboscis dan Orang Utan di sepanjang Sungai Kinabatangan, sungai kedua terpanjang di Malaysia.
Daerah terkenal dengan tanaman eksotik durian merah itu mempunyai seramai 198,100 penduduk majoritinya suku kaum Sungai, selain merekodkan 44,773 pengundi masing-masing 23,163 lelaki dan 21,610 perempuan melibatkan tiga Dewan Undangan Negeri (DUN) iaitu DUN Kuamut, DUN Lamag dan DUN Sukau.
Sebanyak 50 peratus penduduknya terlibat dalam bidang pertanian; perusahaan perniagaan (25 peratus); pelancongan (15 peratus); manakala 10 peratus lagi berkecimpung dalam sektor penternakan dan perikanan.
Sudah banyak prasarana asas dibangunkan di pekan utama daerah ini seperti masjid, hospital, klinik kesihatan, perpustakaan awam, mahkamah,pasar awam,perkhidmatan pos, kemudahan perbankan serta bangunan komersial bagi merancakkan lagi pembangunan sosio-ekonomi penduduk setempat.
Namun, penduduk Kinabatangan mempunyai aspirasi untuk melihat pembangunan holistik di Kinabatangan antara lain merangkumi usaha meningkatkan kualiti hidup menerusi penyediaan peluang pekerjaan dan pemilikan rumah di bawah Program Perumahan Rakyat (PPR).
Seorang pelajar kolej swasta Siti Nuraisyah Ali Omar, 20, dari Kampung Suan Lamba berkata, isu pemilikan rumah PPR dalam kalangan rakyat kurang berkemampuan di daerah itu perlu ditangani bersungguh-sungguh memandangkan masih ramai rakyat Kinabatangan memerlukan bantuan perumahan berkenaan.
"Banyak lagi (penduduk) tiada rumah sendiri dan hanya menumpang dengan keluarga atau menyewa rumah," katanya kepada Bernama.
Bagi seorang peniaga Faizal Amir, 30, dari Kampung Sinar Jaya pula berpendapat projek perumahan rakyat seumpama itu masih kurang dan ia perlu diperbanyakkan lagi di Kinabatangan dalam usaha memenuhi keperluan penduduk yang menginginkan kediaman lebih selesa.
Senada dengan harapan itu, seorang suri rumah Maslina Palal, 43, dari Kampung Danau Ria berharap agar tidak berlaku 'pilih bulu' atau terlalu banyak kerenah birokrasi dalam proses permohonan kemudahan itu kerana dia sudah banyak kali memohon PPR tetapi gagal sehingga kini.
Bagaimanapun, Maslina mengakui sudah banyak perubahan di Kinabatangan, dengan pekan daerah itu semakin "bersemangat" berikutan kewujudan pusat perniagaan komersial yang memudahkan penduduk mendapatkan barang keperluan harian, berbanding sebelum ini hanya ada satu blok komersial.
Seorang juruwang kedai kek Farah Afirah Roslan, 22, dari Kampung Bukit Garam pula berpendapat sudah tiba masa lebih ramai pelabur dibawa masuk ke Kinabatangan berdasarkan potensi dimiliki daerah itu bagi mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan sekali gus mengurangkan kadar pengangguran belia.
"Peluang pekerjaan di Kinabatangan ada tetapi masih kurang dan sangat terhad sehingga mendorong golongan belia berhijrah ke Kuala Lumpur atau Kota Kinabalu. Justeru, adalah sangat bagus sekiranya lebih banyak peluang pekerjaan disediakan di sini supaya senang anak muda mendapat kerja," katanya.
Mengenai kemudahan infrastruktur jalan raya, seorang pembantu jualan Nurhidayah Amir, 18, dari Kampung Jaya Baru berkata, jalan raya di daerah itu perlu diselenggara dengan baik memandangkan keadaan jalan raya ketika ini banyak rosak dan boleh mengancam keselamatan pengguna.
Pandangan sama turut disuarakan Siti Nuraisyah dan Farah Afirah yang berpendapat kerja-kerja penyelenggaraan infrastruktur jalan raya di Kinabatangan perlu dilakukan dengan cekap, selain memastikan bekalan air bersih dan elektrik dapat dinikmati oleh penduduk di semua kampung.
Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) menyaksikan Parlimen Kinabatangan berdepan persaingan satu lawan satu antara Pengerusi Barisan Nasional Sabah Datuk Seri Bung Moktar Radin yang merupakan penyandang kerusi itu selama lima penggal sejak 1999, dan calon Parti Warisan Mazliwati Abd Malek.
Pada PRU14, Bung Moktar menang dengan majoriti 9,478 undi menewaskan Ghazali Abdul Ghani daripada Warisan dan Mustapa Datu Tambuyong (Parti Harapan Rakyat Sabah).
-- BERNAMA