PRU15: Rakyat harus diyakinkan, jangan setakat perang mulut - Amir Fareed
Israr Khalid
Oktober 12, 2022 05:45 MYT
Oktober 12, 2022 05:45 MYT
KUALA LUMPUR: Para pemimpin politik diingatkan supaya tidak hanya saling bertikam lidah untuk memburukkan lawan dalam Pilihan Raya Umum kali ini (PRU15), tetapi harus meraih semula keyakinan rakyat dengan bermaruah.
Tegas Pengarah Strategi KRA Group, Amir Fareed Rahim, rakyat perlu diberi gambaran jelas tentang perancangan membawa negara kepada keadaan yang lebih sejahtera untuk memenangi hati mereka.
Katanya, ketika situasi semasa yang menekan kehidupan warga kebanyakan, pihak yang berupaya memberi keyakinan dengan perancangan yang jelas dan munasabah lebih berkelebihan berbanding pihak yang menggunakan cara lama.
“Parti-parti politik yang ingin membentuk kerajaan selepas PRU15 harus menerangkan, memberi satu artikulasi tentang visi mereka, bagaimana untuk menyelesaikan masalah rakyat dan membawa Malaysia bukan sahaja untuk lima tahun ke depan ini, tetapi meletakkannya pada landasan yang tepat untuk maju dalam 10 hingga 15 tahun akan datang.
“Jika pemimpin politik terus sibuk bertelagah, saya khuatir ini akan menjadi satu 'turn-off' atau pembunuh rasa rakyat untuk keluar mengundi,” jelasnya.
Ini kerana, menurut beliau, tanggungjawab para pemain poltik dalam PRU kali ini adalah amat besar untuk memulihkan defisit kepercayaan rakyat terhadap institusi kepemimpinan, selepas dikecewakan susulan PRU yang lalu.
Amir Fareed berkata demikian dalam program Agenda AWANI dihoskan oleh Nazri Kahar pada Rabu.