PRU15: Poster calon BN Jerai disimbah cat hitam

Adie Sufian Zulkefli
November 13, 2022 09:35 MYT
Shahnaz meminta saksi yang menyaksikan kejadian itu tampil membantu siasatan polis berikutan tiada rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di kawasan itu. - Astro AWANI
YAN: Poster Calon Barisan Nasional (BN) Parlimen Jerai, Datuk Seri Jamil Khir Baharom yang terletak simpang empat Jalan Pulau Bunting disimbah cat hitam, malam tadi.
Ketua Polis Daerah Yan, Deputi Superintendan Shahnaz Akhtar Haji berkata, laporan diterima pihaknya pada jam 12.35 tengah malam tadi.
Katanya, laporan dibuat Ahli Jawatankuasa (AJK) Umno Bahagian Jerai yang menyedari poster tertera gambar calon disimbah cat selepas menerima aduan daripada pemantau Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).
"Siasatan polis di tempat kejadian mendapati cat disimbah pada wajah calon terbabit dengan menggunakan cat hitam.
“Polis sedang menyiasat perbuatan yang dilakukan itu bertujuan bagi memburukkan parti berkenaan," katanya ketika dihubungi Astro AWANI hari ini.
Berikutan itu, polis telah membuka kertas siasatan mengikut Seksyen 4A(1) Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954, Seksyen 427 Kanun Keseksaan kerana khianat.
Shahnaz meminta saksi yang menyaksikan kejadian itu tampil membantu siasatan polis berikutan tiada rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di kawasan itu.
Malah katanya, lokasi di tempat kejadian gelap.
Jelas Shahnaz, siasatan lanjut berhubung perbuatan itu sedang dilakukan dan usaha mengesan suspek masih dilakukan ketika ini.
#poster calon BN disimbah cat #Parlimen Jerai #PRU15 #polis
;