PRU15: Polis tahan dua lelaki sebar kertas undi pos

Bernama
November 9, 2022 22:33 MYT
Lelaki berumur 20-an dan 50-an itu ditahan pada pukul 11.30 malam dan 2 pagi tadi. - Gambar hiasan
KOTA BHARU: Polis menahan dua lelaki lewat malam tadi dan awal pagi ini di Gua Musang bagi membantu siasatan berhubung penyebaran paparan kertas undi pos Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) menerusi aplikasi WhatsApp.
Ketua Polis Kelantan Datuk Muhamad Zaki Harun berkata lelaki berumur 20-an dan 50-an itu ditahan pada pukul 11.30 malam dan 2 pagi tadi kerana menerima dan menyebarkan paparan kertas undi pos berkenaan, dan polis sedang menyiasat motif mereka.
"Apa apa sahaja dokumen mengenai pilihan raya ini jangan disebarkan, kerana ini akan menimbulkan persepsi negatif kepada masyarakat, biarlah ia menjadi rahsia," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kelantan, di sini hari ini.
Beliau berkata kedua-dua individu itu direman sehingga Jumaat ini bagi membantu siasatan, dan pihak sedang berbincang dengan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) untuk tindakan selanjutnya.
"Kes disiasat di bawah Seksyen 3(1) (j) Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1988," katanya.
[LAPOR LANGSUNG] PRU15: Kerajaan Selangor setuju beri cuti umum pada 18 Nov - MB Selangor
SEMAK CALON PRU15 DI SINI!
#PRU15 #kes polis #kertas undi pos #Gua Musang
;