PRU15: Polis Sarawak cukup anggota hadapi kemungkinan banjir
Bernama
Oktober 13, 2022 06:00 MYT
Oktober 13, 2022 06:00 MYT
KUCHING: Polis Sarawak mempunyai anggota mencukupi dalam menghadapi kemungkinan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) berlangsung semasa banjir akibat musim monsun timur laut.
Pesuruhjaya Polis Sarawak Datuk Mohd Azman Ahmad Sapri berkata bantuan anggota dari luar Sarawak juga tidak diperlukan buat masa ini.
"Apa pun kita sentiasa bersedia untuk menghadapi apa jua keadaan. Kita sudah diberikan tanggungjawab mengendali PRU15 dan musim Monsun jadi kita akan buat yang terbaik.
"Kita mampu uruskan (tanpa bantuan), kita ada tenaga kerja yang mencukupi," katanya kepada pemberita selepas menghadiri majlis minum petang bersama media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Sarawak semalam.
Sebelum ini, beliau dilaporkan berkata sejumlah 7,063 pegawai dan anggota polis bersiap sedia menghadapi PRU15 di Sarawak dan akan menggunakan pengalaman semasa Pilihan Raya Negeri tahun lepas bagi tujuan gerak kerja serta penugasan anggota.
Pada 10 Okt lepas, Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan pembubaran Parlimen bagi memberi laluan kepada PRU15.
Suruhanjaya Pilihan Raya akan mengadakan mesyuarat khas untuk membincang dan menentukan tarikh-tarikh penting PRU15 pada 20 Okt ini.
-- BERNAMA