PRU15: Polis Kedah perlukan anggota tambahan

Adie Sufian Zulkefli
Oktober 12, 2022 14:08 MYT
Menurut Ketua Polis Kedah, Datuk Wan Hassan Wan Ahmad, kontinjen negeri itu hanya memiliki 3,500 anggota dan jumlah tersebut tidak mencukupi. - Gambar Astro AWANI
ALOR SETAR: Polis Kedah akan meminta bantuan keanggotaan lain bagi memastikan keselamatan dan proses pengundian berjalan dengan lancar ketika Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).
Menurut Ketua Polis Kedah, Datuk Wan Hassan Wan Ahmad, kontinjen negeri itu hanya memiliki 3,500 anggota dan jumlah tersebut tidak mencukupi.
Sehubungan itu, Wan Hassan berkata, polis Kedah telah membuat permohonan daripada Bukit Aman bantuan 1,000 anggota dan telah diluluskan.
Katanya, dengan pertambahan itu seramai 5,139 anggota akan digunakan sepanjang perjalanan PRU15.
Selain tambahan anggota daripada Bukit Aman, polis Kedah juga akan mendapatkan khidmat bantuan daripada Pusat Latihan Polis (Pulapol), sukarelawan polis dan agensi lain antaranya Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela).
Menurut beliau, tumpuan akan diberikan pada hari penamaan calon dan pembuangan undi.
Malah, anggota juga, jelas beliau, akan ditempatkan di beberapa lokasi ‘hotspot’ bagi mengelak sebarang kekecohan dan kejadian tidak diingini berlaku.
Wan Hassan berkata demikian kepada pemberita ketika ditemui pada majlis pelupusan barang kes dadah di Dataran Kawad Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah, di sini, hari ini.
#bubar parlimen #PRU15 #Polis Kedah #anggota tambahan
;