PRU15: PLUS keluarkan jadual cadangan waktu perjalanan

Bernama
November 15, 2022 19:24 MYT
PLUS Malaysia Berhad mengeluarkan Jadual Cadangan Waktu Perjalanan (TTA) buat pengguna Lebuhraya Utara-Selatan, bagi tempoh dari 17 hingga 21 Nov ini. - Gambar fail
KUALA LUMPUR: PLUS Malaysia Berhad (PLUS) hari ini mengeluarkan Jadual Cadangan Waktu Perjalanan (TTA) buat pengguna Lebuhraya Utara-Selatan, bagi tempoh dari 17 hingga 21 Nov ini.
Ketua Pegawai Operasi PLUS, Datuk Zakaria Ahmad Zabidi berkata, TTA itu bertujuan mengurangkan kesesakan trafik yang dijangka berlaku akibat peningkatan sehingga 1.9 juta kenderaan di lebuh raya itu, sempena Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), Sabtu ini.
Beliau berkata, pengguna lebuh raya dari Lembah Klang yang menuju Perlis, Kedah, Pulau Pinang, Perak (Utara) dan Johor disarankan supaya memasuki lebuh raya bermula 16 hingga 18 Nov sebelum 10 pagi manakala pengguna yang menuju ke lain-lain negeri dinasihatkan masuk ke lebuh raya antara 1 tengah hari hingga 4 petang.
Menurut Zakaria, bagi perjalanan pulang semula ke Kuala Lumpur bermula 20 hingga 21 Nov pula, pengguna dari Perlis, Kedah, Pulau Pinang, Perak (Utara), Johor dan lain-lain negeri dinasihatkan supaya memasuki lebuh raya sebelum 10 pagi.
"Orang ramai khususnya yang ingin pulang ke kampung halaman atau bergerak ke lokasi mengundi masing-masing dinasihatkan membuat persiapan rapi dan merancang perjalanan dengan lebih awal untuk pulang dan kembali semula ke ibu kota semasa tempoh ini.
"Pengguna juga perlu menjangka menghadapi tempoh perjalanan yang lebih panjang di lebuh raya berikutan peningkatan kenderaan berbanding hari-hari biasa. Namun begitu, PLUS turut membuat persediaan dari sudut operasi lebuh raya bagi membantu orang ramai menikmati perjalanan yang selesa sepanjang tempoh tersebut," katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, PLUS juga akan menghentikan sementara kerja-kerja penyelenggaraan, naik taraf atau pembinaan yang memerlukan penutupan lorong di lebuh raya bermula 17 hingga 21 Nov kecuali kerja-kerja kecemasan seperti pengalihan kenderaan yang terlibat dalam kemalangan, pembersihan lokasi kemalangan dan kerja-kerja pembaikan yang kritikal.
"PLUS juga menyediakan kren dan trak tunda di lokasi strategik bagi mempercepat kerja pengalihan dan penundaan kenderaan rosak atau terlibat dengan kemalangan di lebuh raya," katanya.
Menurut Zakaria, PLUS akan menugaskan kira-kira 200 pasukan PLUSRonda untuk menjalankan rondaan 24 jam setiap hari di lebuh raya serta 1,500 kakitangan di plaza-plaza tol untuk melancarkan transaksi di plaza tol serta 30 petugas di Pusat Pemantauan Trafik bagi memantau pergerakan trafik serta membantu mengkoordinasi bantuan kepada pengguna lebuh raya.
"Pengguna lebuh raya dinasihatkan mematuhi had laju, arahan lalu lintas dan berhati-hati ketika memandu berikutan cuaca hujan dan PLUS mengucapkan semua pengguna lebuh raya selamat sampai ke destinasi untuk menunaikan tanggungjawab kepada negara," katanya.
Jadual TTA boleh didapati menerusi aplikasi PLUS Mobile App di Google Play Store atau App Store selain di laman web www.plus.com.my serta Twitter PLUSTrafik. - BERNAMA
#PRU15 #PLUS #Jadual Cadangan Waktu Perjalanan #tol percuma #cuti umum PRU15
;