PRU15: PH dijangka menang 41 peratus kerusi Parlimen - EMIR Research
Fareez Azman
Disember 12, 2019 19:08 MYT
Disember 12, 2019 19:08 MYT
Selepas menjalankan penyelidikan Indeks Kebimbangan Negara (NWI) yang dikeluarkan pada November lalu, badan pemikir, EMIR Research hari ini mengeluarkan satu lagi hasil penyelidikan mengenai sokongan dan pandangan rakyat terhadap parti politik menjelang Pilihan Raya Umum ke 15 (PRU15).
Daripada 1,992 responden yang terdiri daripada 104 latar belakang yang berlainan mendapati Pakatan Harapan (PH) mendapat undian tertinggi sebanyak 41 peratus berbanding Umno dan PAS 38 peratus bagi kerusi Parlimen.
Ia diikuti 17 peratus responden memilih parti Bebas manakala empat peratus lagi tidak berminat untuk mengundi.
INDEKS KEPUASAN KERAJAAN (GSI)
Indeks Kepuasan Terhadap Kerajaan (GSI) dijalankan bagi mengenal pasti tahap kepuasan responden terhadap prestasi kerajaan menerusi inisiatif dan usaha yang dijalankan selepas Pilihan Raya Umum ke 14, pada 9 Mei 2018.
Hasil penyelidikan mendapati tahap kepuasan rakyat terhadap kerajaan berada pada kadar purata dengan bacaan 0.53 pada skala 0 hingga 1.
Penyelidikan secara kualitatif dan kuantitatif dijalankan terhadap responden mengikut beberapa sektor dan isu melibatkan rakyat.
SOKONGAN MENGIKUT PENDAPATAN
Sokongan daripada golongan berpendapatan RM3,000 ke bawah mendapati 45 peratus memilih Muafakat Nasional (Umno dan PAS).
Pakatan Harapan pula mendapat 40 peratus undian diikuti 15 peratus bagi parti Bebas.
Kajian mendapati ini didorong dengan kos sara hidup dan sosio-ekonomi yang memberi kesan kepada golongan berpendapatan rendah.
Ia berbeza dengan golongan berpendapatan antara RM3,000 hingga RM5,000 yang memilih Pakatan Harapan sebanyak 51 peratus berbanding Muafakat Nasional 31 peratus.
Manakala sokongan terhadap parti Bebas didapati meningkat kepada 18 peratus berbanding golongan berpendapatan RM3,000 ke bawah.
Trend yang sama dilihat bagi golongan berpendapatan RM5,000 ke atas yang 52 peratus memilih Pakatan Harapan berbanding 36 peratus Muafakat Nasional, diikuti 12 peratus bagi parti Bebas.
Trend ini disebabkan majoriti responden kurang terkesan dengan sosio-ekonomi dan kos sara hidup seperti yang dilaporkan dalam Kajian The Perut Economy sebelum ini.
SOKONGAN MENGIKUT UMUR
Bagaimanapun hasil penyelidikan bagi responden mengikut pecahan umur pula menyaksikan saingan sengit diantara Pakatan Harapan dan Muafakat Nasional akan berlaku terutamanya bagi pengundi berusia 31 tahun ke bawah.
42 peratus mengundi Muafakat Nasional menakala 40 peratus memilih Pakatan Harapan diikuti 19 peratus bagi parti Bebas.
Bagi tiga kumpulan responden berusia 31 hingga 40, 41 hingga 50 dan 51 tahun ke atas pula memberi reaksi berbeza.
Rata-rata memilih Pakatan Harapan dengan 45,46, dan 49 peratus berbanding 39,38 dan 33 peratus bagi Muafakat Nasional.
Manakala 16,16 dan 17 peratus mereka memilih parti Bebas.
Dari sudut pecahan kaum pula, mendapati kaum Melayu dan Bumiputera memilih Muafakat Nasional sebanyak 53 peratus berbanding 33 peratus Pakatan Harapan.
Manakala 64 peratus Pakatan Harapan dipilih oleh kaum Cina berbanding 12 peratus bagi Muafakat Nasional.
Pakatan Harapan juga dilihat berjaya memegang kepercayaan kaum India apabila 52 peratus memilih parti kerajaan berbanding 24 peratus memilih Muafakat Nasional.
'THE ECONOMIC DIMENSION'
Kajian turut dijalankan menerusi 'The Economi Dimension' yang mengambil kira kepuasan responden terhadap kerajaan sedia ada.
Sebanyak tujuh isu asas diberikan kepada responden yang melibatkan usaha dan tindakan kerajaan Pakatan Harapan berkaitan sosio-ekonomi setempat, kesihatan, mata wang ringgit dan barangan asas.
Sebanyak 43 peratus responden berpuas hati kerajaan berjaya mengawal kos servis perubatan diikuti 29 peratus tidak berpuas hati.
Ia berikutan usaha kerajaan dalam memperkenal beberapa program kesihatan terhadap rakyat.
Manakala 42 peratus berpuas hati kestabilan harga barangan asas dapat dikawal, diikuti 36 peratus berpuas hati.
Bagi nilai mata wang ringgit pula, 36 peratus responden tidak berpuas hati akan tindakan kerajaan dalam mengawalnya, diikuti 33 peratus berpuas hati.
Ini disebabkan kejatuhan nilai ringgit sehingga menyebabkan kos sara hidup meningkat dan menekan rakyat.
'THE HEALTH AND TRANSPORT DIMENSION'
Dari sudut kesihatan dan pengangkutan awam, empat isu dibentangkan kepada responden bagi menilai penerimaan rakyat.
39 peratus berpuas hati tindakan kerajaan dalam menentukan bajet bagi servis kesihatan susulan kempen kesihatan serta penambahbaikan servis pengangkutan awam.
Manakala 31 peratus merasakan tidak berpuas hati dengan usaha yang telah dijalankan.
Turut menarik perhatian, isu pengambil alihan konsensi tol yang menyaksikan 33 peratus responden berpuas hati usaha kerajaan dalam mengurangkan beban tol terpaksa dibayar rakyat.
Namun 31 peratus responden tidak berpuas hati dengan usaha kerajaan selama ini.
Turut disentuh, isu rumah mampu milik yang menjadi antara isu asas kepada golongan berpendapatan rendah dan sederhana.
Penyelidikan mendapati 38 peratus responden berpuas hati dengan Pelan Polisi Rumah Mampu Milik oleh kerajaan manakala 28 peratus merasakan sebaliknya.
Prosedur pinjaman perumahan juga menyaksikan 37 peratus berpuas hati dengan usaha kerajaan ketika ini manakala 28 peratus tidak merasakannya membantu rakyat.
Bagi yang tidak mampu memiliki rumah mampu milik, Skim Rumah Sewa yang diperkenalkan oleh kerajaan mendapati 37 peratus respons rakyat yang berpuas hati.
Manakala 28 peratus tidak berpuas hati dengan usaha kerajaan ketika ini.
Menurut Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif EMIR Research, Datuk Dr Rais Hussin Mohammed Ariff pembentangan hasil penyelidikan itu bagi mengenal pasti kepuasan rakyat terhadap prestasi kerajaan.
"Kami melakukan penyelidikan mendalam untuk mendapatkan data sebenar dan jelas dari sentimen rakyat berkaitan kerajaan. Bila kami (EMIR Research) keluarkan data Indeks Kebimbangan Negara (NWI) sebelum ini mendapat reaksi rakyat yang sangat baik.
"Data itu daripada lapangan dan kami hanya mengemukakannya, semua proses termasuk metodologi kajian untuk mendapatkan data yang benar. Tidak semua 'think-tank' akan dedahkan data seperti ini, tetapi bagi kami ini adalah penting untuk rakyat tahu dan ianya boleh dibincangkan." katanya ketika pembentangan hasil penyelidikan berkenaan di Pejabat EMIR Research di ibu negara pada Khamis.
Seramai 25 penyelidik terbabit dalam penyelidikan itu yang diketuai Profesor Datuk Dr Mohamad Sahari Nordin, Profesor Dr Tunku Mohar dan Profesor Datin Dr Margarita Peredaryenko.
#bajet
#Bumiputera
#EMIR Research
#kaji selidik
#kesihatan
#Pakatan Harapan
#Parlimen
#PAS
#perubatan
#Pilihan Raya Umum 15
#politik
#PRU
#rakyat
#tol
#UMNO