PRU15: Perubahan kawasan, Bersih tuntut SPR beri penjelasan
Astro Awani
Oktober 15, 2022 12:14 MYT
Oktober 15, 2022 12:14 MYT
KUALA LUMPUR : Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih) menuntut Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) beri penjelasan segera terhadap perubahan kawasan pengundian.
Bersih telah menerima beberapa aduan daripada orang ramai bahawa kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) dan Parlimen untuk mengundi telah diubah berbanding pada Pilihan Raya Umum (PRU) dan Pilihan Raya Negeri (PRN) yang lepas.
Bersih dalam kenyataan berkata, terdapat dua pemilih di Sabah telah diubah DUN dan Parlimen mereka.
Pada PRU14 dan PRN Sabah yang lepas, mereka telah mengundi di Parlimen Tawau/DUN Sri Tanjung namun mereka mendakwa telah diubah ke Parlimen Kalabakan/DUN Merotai.
Berdasarkan Seksyen 12A Peraturan-Peraturan Pilihan Raya (Pendaftaran Pemilih) 2002, sekiranya seseorang pemilih ingin menukar tempat pengundian, mereka hendaklah memohon kepada pendaftar SPR atau penolong pendaftar dengan mengisi Borang A untuk menukar alamat.
Namun, siasatan Bersih mendapati pemilih tersebut tidak pernah memohon pertukaran tempat pengundian.
Tambah Bersih, ketidakjelasan dalam proses dan perubahan yang tidak dimaklumkan akan menjejaskan kepercayaan rakyat kepada SPR malah lebih berbahaya terhadap proses pilihan raya itu sendiri.