PRU15: Pertembungan 'gergasi' tak wajar hasilkan tawaran biasa-biasa - Penganalisis
Israr Khalid
November 2, 2022 08:45 MYT
November 2, 2022 08:45 MYT
KUALA LUMPUR: Kawasan yang menjadi pentas pertembungan calon-calon ‘gergasi’ wajar mendapat impak positif yang besar selepas berakhir Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) nanti.
Ini kerana, menurut penganalisis politik Dr Ahmad Zaharuddin Sani Ahmad Sabri, calon-calon nama besar sepatutnya hadir dengan tawaran yang bukan biasa-biasa untuk menawan hati pengundi kawasan tersebut.
Maka, beliau mengharapkan idea-idea besar akan menjadi taruhan dan disuntik ke dalam isu-isu tempatan yang mahu dijuarai para calon yang bertanding.
“Kalau kita lihat contoh di Tambun di mana penyandangnya Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu akan bertemu cabaran Datuk Seri Anwar Ibrahim, tenaga antara dua individu ini akan dilihat sebagai siapa yang boleh menyumbang lebih lagi kepada Tambun.
“Jadi, konflik pertembungan di kawasan seperti ini adalah konflik visi dan misi. Visi dan misi siapa yang lebih menarik untuk didendangkan, dijual dan dibeli oleh pengundi,” ujarnya dalam program diskusi Malaysia Memilih pada Selasa.
Daripada pertembungan gergasi seperti dinyatakan, katanya, diharapkan ada ikhtiar dan perjanjian untuk menjadikan kawasan yang direbut itu membangun ke tahap yang lebih daripada biasa.
“Supaya ia menjadi satu deklarasi oleh sesiapa sahaja yang menang nanti untuk mencipta sejarah dan menjadikan Tambun (misalnya) sebagai sebuah pusat antarabangsa,” tambahnya.