PRU15: Pengundi teruja, hadir awal sebelum pusat mengundi dibuka
Bernama
November 19, 2022 08:29 MYT
November 19, 2022 08:29 MYT
KUALA LUMPUR: Keterujaan rakyat Malaysia untuk memilih kerajaan pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) jelas kelihatan hari ini, dengan pengundi hadir ke pusat-pusat mengundi lebih awal sebelum pintu pagar dibuka malah ada juga yang sanggup berpayung dalam barisan akibat hujan.
Antaranya pasangan suami isteri, Marita Talib, 54, dan Shahruddin Hussin, 62, yang tiba seawal 6.30 pagi di pusat mengundi Sekolah Kebangsaan Agama Dato Omar Yusuf, Johor Bahru, walaupun pusat mengundi di seluruh Semenanjung Malaysia hanya dibuka bermula 8 pagi.
Para pengundi di Parlimen Indera Mahkota, Pahang pula mengambil kesempatan cuaca baik untuk hadir ke pusat pengundian Sekolah Kebangsaan Sungai Talam seawal 7.25 pagi.
Walaupun cuaca dilapor baik di kebanyakan kawasan, beberapa pusat mengundi dilapor hujan termasuk di Sembrong, Johor; Bentong (Pahang); Putrajaya, Masjid Tanah (Melaka) dan Sibuti, Sarawak.
Namun, keadaan basah itu tidak menghalang keterujaan pengundi daripada menunaikan tanggungjawab mereka dengan membuat persediaan hadir ke pusat pengundian dengan berpayung atau berbaju hujan.
Begitu juga di Sarawak, pengundi hadir sejak awal pagi lagi sebelum pusat mengundi mula dibuka secara rasmi pada 7.30 pagi dan barisan panjang pengundi sudah mula kelihatan terbentuk di beberapa pusat mengundi.
Petugas Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) juga dilihat dari awal pagi membuat persiapan terakhir bagi memastikan kelancaran proses pengundian hari ini.
SPR sebelum ini mengumumkan pusat mengundi di Semenanjung akan dibuka bermula 8 pagi manakala di Sabah, Sarawak dan Labuan pada 7.30 pagi.
Mengikut Warta Kerajaan mengenai penetapan waktu mengundi PRU15 yang dimuat naik di laman sesawang SPR, pusat mengundi di Semenanjung Malaysia akan ditutup secara berperingkat antara 12 tengah hari hingga 6 petang.
-- BERNAMA