PRU15: Pengundi Pulau Pinang mahukan calon baharu, bawa pembaharuan 'fresh'

Umavathi Ramayah
November 4, 2022 08:25 MYT
(Dari kiri) Yah Saad, Yusri Sulaiman dan Norsyafikah Abd Jaafar antara pengundi Pulau Pinang. - Gambar Astro AWANI
BAGAN: Berbaki kurang dari 24 jam sebelum hari penamaan calon. Walaupun parti-parti politik sudah mengumumkan calon pilihan mereka namun senarai itu hanya dapat dimuktamadkan pada Sabtu.
Di Pulau Pinang, kira-kira 60 hingga 70 peratus calon yang ditampilkan adalah muka baharu. Namun bagaimana penerimaan penduduk di Pulau Pinang?
Sehubungan itu Astro AWANI melakukan tinjauan di sekitar Pulau Pinang bagi melihat pandangan mereka.
Bagi pegawai farmasi, Yusri Sulaiman, 28, katanya penduduk Pulau Pinang harus memberi peluang kepada muka baharu terutama golongan profesional yang berpotensi dalam usaha melakukan pembaharuan.
"Kita bagi peluang kepada calon baharu, yang lama kita dah tahu macam mana, jadi kita tengok lima tahun akan datang, kalau calon ini tak sesuai, kita boleh tukar," katanya di sini, pada Jumaat.
Sementara itu, Gunasegaran Sivalingam, 48, seorang pegawai keselamatan dan kesihatan turut berkongsi pandangan yang sama.
"Saya rasa, kita wajar bagi peluang kepada calon baharu, mungkin akan ada pembangunan yang fresh," ujar
Sumathi Sundrarajoo, 44, pula memberitahu, sudah tiba masanya penduduk Pulau Pinang memberi peluang kepada calon baharu di kawasan mereka.
"Kita perlukan muka baharu yang boleh memikul amanat yang diberikan rakyat untuk lima tahun akan datang," ujarnya.
Bagaimanapun, lain pula pandangan Yah Saad, 60, yang tidak kisah siapa yang akan diangkat sebagai ahli Parlimen.
Tegasnya, apa yang penting ialah mereka adalah melaksanakan tanggungjawab dengan berintegriti.
"Saya tak kisah siapa yang menang sama ada calon lama atau baharu, apa yang penting mohon tunaikan janji-janji dan manifesto," jelasnya.
Begitu juga dengan dengan Norsyafikah Abd Jaafar, 27, yang mahu calon tunaikan janji-janji.
"Mereka duduk atas kerana rakyat yang pilih, jadi mereka kena jaga rakyatlah," katanya.
#Malaysia Memilih #pengundi Pulau Pinang #calon baharu #pembaharuan