PRU15: Panglima Tentera Darat puas hati proses undi awal berjalan lancar

Raja Hisyam Raja Zaid
November 15, 2022 11:21 MYT
Zamrose (berdiri, kanan) ketika membuat tinjauan perjalanan undian awal di Kem Terendak pagi tadi. -Astro AWANI
MELAKA: Panglima Tentera Darat Jeneral Tan Sri Zamrose Mohd Zain berpuas hati dengan tahap kelancaran proses undian awal membabitkan anggota tentera dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) hari ini.
Ketika ditemui media di Kem Terendak di sini pagi tadi, beliau berharap agar semua anggota ATM mampu melunaskan tanggungjawab mengundi dalam keadaan teratur dan selesa.
"Saya harap semua mereka (anggota ATM) mengundi supaya hak untuk memilih kerajaan terbaik untuk negara kita.
"Saya tengok suasana dia tersusun tiap-tiap anggota di Kem Terendak ini diberikan masa-masa tertentu, jadi mereka mengundi bermula jam 8 tadi hingga 5 petang," kata Zamrose kepada media.
Jelas beliau, beberapa pusat mengundi lain membabitkan Johor, Melaka dan Negeri Sembilan akan dilawatinya hari ini bagi meninjau proses pengundian yang berlangsung.
Beliau memaklumkan berpuas hati dengan perjalanan pengundian awal di beberapa Pusat Pengundian Awal (PPA) yang dilawatinya setakat ini.
#PRU15 #Panglima Tentera Darat #undi awal #Zamrose Mohd Zain
;