PRU15: Netizen persoal promosi selepas harga tiket penerbangan dinaikkan
Astro Awani
Oktober 21, 2022 15:36 MYT
Oktober 21, 2022 15:36 MYT
KUALA LUMPUR: Pengguna media sosial mempersoalkan harga tiket kapal terbang yang mahal susulan tarikh mengundi untuk Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) yang baru diumumkan pada Khamis.
Biarpun sudah ada syarikat penerbangan yang menawarkan promosi dan potongan harga, namun ramai juga yang mendakwa harga promosi yang diberikan adalah harga yang sudah dinaikkan.
Malah ada juga yang sinikal dan mendakwa hanya orang kaya boleh mengundi pada PRU15 susulan harga tiket yang mahal.
Namun bagi sebahagian lagi, mereka melihat usaha memberikan potongan harga adalah usaha yang baik dan sedikit sebanyak mampu memberi kelegaan.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) pada Jumaat mengumumkan tarikh PRU15 bakal dijalankan pada 19 November depan.
Sementara itu, Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (Mavcom) akan mengawal selia harga tiket penerbangan, supaya syarikat penerbangan tidak meningkatkan harga sewenang-wenangnya menjelang PRU15.
Menteri Pengangkutan Datuk Seri Wee Ka Siong berkata, walaupun harga tiket penerbangan, secara lazimnya akan meningkat mengikut Mekanisme Harga Dinamik jika terdapat sesuatu peristiwa melibatkan pergerakan orang ramai, Mavcom akan mengambil tindakan sekiranya syarikat penerbangan didapati menaikkan harga tidak mengikut syarat ditetapkan.