PRU15: Mukhriz dan isteri selesai mengundi di SJKC Pei Min
Adie Sufian Zulkefli
November 19, 2022 10:49 MYT
November 19, 2022 10:49 MYT
JERLUN: Calon Parlimen Jerlun Datuk Seri Mukhriz Mahathir membuang undi di Pusat Mengundi Sekolah Jenis Kebangsaan Cina Pei Min, Padang Sera, kira-kira pukul 9.18 pagi ini.
Turut sama, isterinya Tok Puan Norzieta Zakaria.
Mukhriz yang juga Presiden Pejuang memuji langkah diambil Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) tidak membenarkan telefon bimbit dibawa ke tempat pembuangan undi.
Beliau berpuas hati dengan perjalanan proses pengundian yang berjalan lancar, ditambah cuaca cerah yang memudahkan orang keluar awal untuk mengundi.
"Saya nampak proses mengundi berjalan lancar.
"Dan Alhamdulillah salah satu perkara yang penting yang telah kami desak SPR sebelum ini telah dilaksanakan, iaitu untuk meletak telefon bimbit dalam satu kotak sebelum mengundi.
"Dan ini tujuannya untuk mengelak daripada dakwaan bahawa ada pihak membeli undi. Kalau itu dilakukan, saya kira akan berkurangan sikit kejadian di mana undi dibeli, kalau pun tidak 100 peratus," katanya.
Penggunaan telefon bimbit di tempat mengundi (saluran) adalah tidak dibenarkan pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) ini.
SPR sebelum ini memaklumkan, pengundi yang membawa telefon bimbit perlu meletakkan alat peranti masing-masing di tempat yang disediakan khas setelah menerima kertas undi dan mengambilnya semula selepas selesai mengundi.
Sebanyak 1,085 pengundi berdaftar di pusat mengundi ini dengan dua saluran iaitu 450 pengundi berdaftar bagi saluran 1 dan 635 pengundi berdaftar bagi saluran 2.
P005 Parlimen Jerlun mempunyai 67,601 pengundi menyaksikan persaingan empat penjuru pada PRU15 ini.
Tiga lagi calon yang bertanding ialah calon Barisan Nasional Datuk Othman Aziz, Datuk Dr Abd Ghani Ahmad (Perikatan Nasional) dan Dr Mohamed Fadzil Mohd Ali (PH).